INISIATIF kerajaan mengindahkan semula kawasan Anjung Selera dan Pusat Penjaja Madani di sekitar Kuala Lumpur ternyata memberi keselesaan bukan sahaja kepada peniaga malah pengunjung tatkala menikmati hidangan makanan yang disediakan.
Salah seorang peniaga di Pusat Penjaja Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Muhammad Fahmi Roshidi, 24, berkata inisiatif kerajaan menaik taraf termasuk pemasangan bumbung tambahan di kawasan perniagaannya itu ternyata memberi keselesaan kepada pelanggannya yang menikmati makanan di gerai tersebut.
“Sebelum ini pelanggan hanya boleh makan di sebelah dalam kerana di luar terlalu panas dan apabila hujan mereka perlu berpindah-randah memandangkan ia adalah kawasan terbuka.
“Dengan pemasangan bumbung ini, kami sebagai peniaga juga boleh membuka lebih banyak meja seterusnya membantu menaikkan hasil jualan sekali gus menyumbang kepada sosioekonomi negara,” katanya kepada Wilayahku.
Muhammad Fahmi berkata selain pemasangan bumbung, menerusi Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur pelbagai penambahbaikan serta kerja pengindahan semula telah dilakukan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
“Kemudahan seperti tandas dan taman permainan juga ditambah baik termasuklah lampu kipas yang telah rosak juga dibaiki. Saya sangat berterima kasih kepada pihak DBKL dan juga Perdana Menteri yang berusaha menaik taraf fasiliti di sini bagi memberi keselesaan kepada pelanggan kami,” ujarnya yang mengharapkan masalah parkir akan turut diambil perhatian oleh pihak bertanggungjawab.
Bagi peniaga Gerai Suka Ramai Along Lily, Lily Darnina Turiman, 45, berkata rata-rata penjaja di D’Anjung Selera Madani Jalan Jujur, Bandar Tun Razak berpuas hati dengan fasiliti yang disediakan buat pengunjung.
“Sebelum ini bumbung agak rendah membuatkan kawasan gerai agak panas dan pengunjung tidak selesa untuk duduk lama namun setelah dinaik taraf kepada kawasan yang lebih kondusif, jumlah pengunjung juga semakin bertambah,” ujarnya yang sudah berniaga di kawasan tersebut sejak tahun 1996.
Bagi peniaga di lokasi yang sama, Muhammad Zafran Zainal Abidin, 42, berkata antara masalah yang dihadapi oleh golongan peniaga di kawasan tersebut adalah saiz gerai yang kecil berbanding dahulu.
“Kedai baru ini banyak peningkatan yang baik dari segi kebersihan, pengurusan mahupun hasil perniagaan di mana jumlah pelanggan yang datang juga semakin bertambah namun apa yang menjadi persoalan adalah saiz gerai kami yang kecil sekali gus membuatkan langkah kerja kami sedikit terhad.
“Walaupun begitu, kami turut berterima kasih kepada pihak DBKL kerana memberi peniaga tapak yang baru dengan suasana yang lebih selesa,” jelasnya sewa mahal bukanlah satu isu namun keselesaan peniaga adalah lebih utama di mana gerai yang besar membolehkan mereka mempelbagaikan menu.
Terdahulu, Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur merupakan cetusan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu membangunkan dan menaik taraf infrastruktur serta fasiliti penjaja di Kuala Lumpur di mana sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan oleh pihak DBKL dengan menfokuskan 68 pusat penjaja di 20 lokasi. – WILAYAHKU
Foto oleh SYUQQREE DAIN
Video oleh HASIF HALIMI