MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan penamatan Dr Mohd Khairuddin Othman sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) berkuatkuasa semalam.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sebab penamatan itu.
Menurut Fahmi, apa-apa jawatan kontrak yang melibatkan pelantikan atau penamatan ada prosesnya dan itu perkara biasa.
“Saya sahkan beliau telah ditamatkan perkhidmatan semalam. Dalam isu jawatan kontrak mana-mana pelantikan dan penamatan ada prosesnya dan pelantikan dan penamatan adalah perkara biasa.
“Ia berpandukan proses yang saya sebutkan tadi dia adalah teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi.
Sementara itu, Fahmi berkata jawatan Ketua Pengarah JKOM itu kini dipangku buat masa ini.
Bagaimanapun, beliau berkata belum dipastikan lagi tempoh jawatan itu akan diisi secara tetap.
Mohd Khairuddin yang juga Setiausaha PKR Selangor dilantik sebagai Ketua Pengarah JKOM bermula 1 Mac lalu bagi mengisi kekosongan jawatan yang sebelum itu disandang Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusof.
Pada 2020 kerajaan diterajui Perikatan Nasional (PN) membuat penjenamaan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan dikenali sebagai JKOM dengan peranan serta fungsi berbeza.
JKOM bermatlamat mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat dengan penyaluran maklumat tepat, sahih serta bijaksana. – WILAYAHKU