Berita

Penajaan biasiswa JPA ditawarkan sebagai Pinjaman Boleh Ubah

- Diterbit 5 Disember 2024 2:25 PM MYT

PENAJAAN Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengalami perubahan dasar dan pada masa kini penajaan yang ditawarkan adalah dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) Berasaskan Merit Tempat Berkhidmat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata bagi memenuhi objektif penajaan untuk memenuhi keperluan strategik dalam negara dan menampung kekurangan dalam sektor tertentu, bidang pengajian/kursus yang ditaja akan disemak secara berkala.

“Antara petunjuk utama dalam menentukan penajaan adalah keperluan bidang pengajian tersebut berdasarkan unjuran dan keperluan guna tenaga negara yang diperolehi daripada pemegang taruh yang berkaitan.

“Selain itu kualiti kursus yang dinilai dari aspek pengiktirafan oleh Badan Pengiktirafan serta Badan Profesional serta prestasi kebolehpasaran graduan,” katanya ketika menjawap soalan Senator
Datuk Dr. Ahmad Azam Hamzah yang bertanyakan bagaimana Kementerian memastikan keperluan bidang strategik dalam negara seiring dengan pemberian biasiswa JPA dan adakah pembahagian ini turut mengambil kira kekurangan dalam sektor tertentu, tanpa mengira kaum penerima.

Zaliha berkata kerajaan akan meneruskan pemberian penajaan Pinjaman Boleh Ubah kepada pelajar cemerlang dalam kalangan Bumiputera dan bukan Bumiputera dengan mengambil kira konsep keadilan sosial yang meliputi kecemerlangan akademik, latar belakang sosioekonomi keluarga dan kepelbagaian kaum.

“Ini kerana kemudahan penajaan Pinjaman Boleh Ubah adalah bertujuan untuk menyediakan modal insan terlatih dan berkepakaran tinggi dalam bidang-bidang tertentu bagi memastikan kesinambungan pembangunan negara,” katanya.

Walau bagaimanapun, ujar beliau fungsi penajaan Pinjaman Boleh Ubah yang dijalankan oleh JPA akan tetap dilaksanakan berteraskan kepada Perkara 153 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri dari Negeri Sabah dan Sarawak bagi kemudahan pendidikan dan latihan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas