SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka empat kertas siasatan terhadap dua individu yang didapati telah memuat naik kandungan palsu dan jelik melampau berunsur 3R (perkauman, agama, dan Institusi Diraja) di platform Facebook dan TikTok.
MCMC dalam kenyataan memberitahu salah seorang daripada dua individu tersebut merupakan pempengaruh dan
aktivis politik.
“Kedua-duanya menimbulkan sentimen perkauman di media sosial melibatkan lagu kebesaran Negeri Perak, penguasaan ekonomi orang Melayu menerusi pemecahan monopoli Petronas dan Gas Malaysia Berhad, serta tentang pengambilalihan Menara Kuala Lumpur.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Satu unit telefon bimbit dan satu kad sim milik seorang suspek
telah disita bagi tujuan analisis forensik. Manakala bagi seorang lagi suspek, telefon bimbitnya telah pun disita oleh pihak
Polis Diaja Malaysia (PDRM) bagi siasatan atas kesalahan yang berlainan,” ujar kenyataan itu.
Dalam pada itu, MCMC turut menasihati orang ramai agar menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab serta berhemah, dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini.
Terdahulu, sesi rakaman percakapan terhadap mereka dijalankan semalam di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya bagi membantu siasatan lanjut.- WILAYAHKU