KEPUTUSAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan rombakan Kabinet bertujuan untuk memastikan setiap kementerian dapat ditadbir dengan lebih berkesan.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata Perdana Menteri sering menekankan mengenai prinsip tatakelola dan banteras rasuah maka dengan pemisahan kementerian ia membuka laluan untuk pentadbiran yang lebih berkesan terutama mengenai isu integriti.

“Apabila sesebuah kementerian diterajui oleh menteri yang lebih berkemampuan dan berprestasi tinggi, ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam usaha memerangi rasuah sekali gus meningkatkan kepercayaan pelabur asing selain dari faktor kestabilan politik.
“Melalui komitmen jitu termasuk dengan rombakan Kabinet setelah setahun Kerajaan Perpaduan, ia jelas dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara melalui pengurusan perbelanjaan di setiap kementerian yang lebih telus dan teratur, supaya tidak lagi berlaku ketirisan, pembaziran dan amalan rasuah,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.
Menjelas lanjut, Ahmed Razman menyifatkan pemisahan kementerian ini dapat memacu perkembangan positif dan memberi lebih fokus terhadap bidang-bidang yang berkeupayaan untuk mencerdaskan ekonomi negara.
“Jika dilihat, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam Malaysia yang diwujudkan hasil daripada pecahan dua kementerian sebelum ini diterajui Timbalan Perdana Menteri II dari Sarawak yang giat meneroka bidang tenaga yang boleh diperbaharui sebagai sumber ekonomi baharu.
“Selain itu, langkah itu dibuat bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber karbon dan memfokuskan kepada sumber tenaga yang lebih mampan dan mampu mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar yang kini berdepan dengan masalah perubahan iklim,” katanya.
Ahmed Razman berkata pemisahan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital juga perlu dilihat dari sudut positif berikutan negara kini perlu bergerak lebih pantas dalam era ekonomi digital agar tidak ketinggalan berbanding negara serantau.
“Pecahan kementerian ini dilihat dapat memandu anjakan baharu terhadap sumber ekonomi digital negara dan ia akan memberi penekanan terhadap sektor berkenaan yang kini digunakan lebih meluas,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmed Razman menyifatkan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II dilihat memberi impak positif dalam pengurusan fiskal negara yang juga berperanan meningkatkan lagi kepercayaan komuniti peniaga terhadap Malaysia.
“Amir Hamzah merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mempunyai pengalaman luas dalam kewangan dan berkebolehan menguruskan aset berbilion ringgit.
“Sebagai seorang teknokrat dan profesional saya berharap pengurusan fiskal negara akan lebih tersusun, telus dan penuh semangat akauntabilti serta diuruskan dengan profesional serta dapat memandu negara ke arah pengukuhan ekonomi,” katanya. – WILAYAHKU