SERAMAI 400 ahli UMNO dan warga Labuan berganding bahu mengimarahkan ibadah korban sekali gus memupuk semangat muafakat antara pemimpin dan masyarakat di pulau tersebut.
Penganjuran Program Ibadah Korban Sempena Hari Raya Aidiladha yang dianjurkan UMNO Labuan baru-baru ini dilihat dapat menyatukan umat Islam menjadi sebuah keluarga besar yang cintakan perpaduan.
Ketua Bahagian Umno Labuan, Datuk Raffi Ali Hassan berkata pada tahun ini empat ekor lembu dikorbankan dan diagihkan kepada golongan asnaf di sekitar Labuan.
“Saya bersyukur dapat mengimarahkan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha seperti tahun-tahun sebelum ini bersama warga pulau,” ujar beliau ketika ditemui di Masjid Al-Ehsan Kampung Sungai Labu, pada 1 Julai lalu.
Dalam pada itu, beliau turut memuji barisan pimpinan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menghadiri program yang dianjurkan pihaknya sekali gus menjalin ukhuwah dalam kalangan pemimpin.
“Dengan gandingan mantap parti-parti Kerajaan Perpaduan, kita akan bawa dan selesaikan permasalahan yang ada. Kita satukan suara, pemimpin dengan rakyat Labuan untuk kita angkat dan bawa Labuan yang lebih maju ke hadapan insya-Allah,” kata beliau.
Hadir sama Ketua Cabang PKR Labuan yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek; Ketua Parti Amanah Kawasan Labuan, Datuk Wira Dr Ramli Tahir; Ketua Pegawai Eksekutif LDA Holding Sdn Bhd, Noor Halim Datuk Zaini yang mewakili Ketua Parti Warisan Labuan, Datuk Rozman Isli. -WILAYAHKU