Berita

Pemilik PPAM Madani Dalur teruja mampu miliki rumah sendiri di Putrajaya

ANWAR (tengah) bersama 10 pemilik unit kediaman pada Majlis Penyerahan Kunci PPAM Madani Dalur baru-baru ini.
- Diterbit 9 Jun 2023 4:09 AM MYT

IMPIAN penjawat awam untuk memiliki kediaman sendiri khususnya di Putrajaya akhirnya tercapai menerusi Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Madani Dalur yang dibangunkan di kawasan pusat pentadbiran kerajaan.

Perasaan gembira dan syukur diluahkan oleh salah seorang pemilik PPAM Madani Dalur, Ahmad Mustaffa Ahmad Rahmad, 44, yang berpeluang memiliki kediaman sendiri setelah hampir 13 tahun menetap di kuarters kerajaan.

“Saya amat bersyukur kerana selepas tempoh krisis kewangan yang dialami, saya diberi peluang untuk memiliki rumah sendiri dan saat manis apabila terpilih sebagai salah seorang penerima kunci yang diserahkan oleh Perdana Menteri ketika majlis perasmian.

“Terima kasih juga kepada pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) yang membantu merealisasikan impian penjawat awam untuk memiliki rumah mampu milik di kawasan yang nilai hartanahnya tinggi,” katanya kepada Wilayahku.

Ahmad Mustaffa berkata penantiannya selama dua tahun berbaloi memandangkan kediaman tersebut dibangunkan di kawasan yang strategik dan dikelilingi pelbagai kemudahan awam.

“PPAM Madani Dalur berada di core island dan paling hampir dengan parade zone iaitu kawasan yang selalu diadakan acara-acara besar namun ia dijual di bawah harga sebenar pasaran kompetitif semasa.

“Selain itu, ia juga mempunyai pelbagai kemudahan berdekatan seperti sekolah, klinik kesihatan, pam minyak, rumah ibadat dan lain-lain lagi,” ujarnya yang akan mendiami kediaman tersebut selepas 21 Jun ini.

AZHARI (tengah) ketika menerima kunci replika PPAM Madani Dalur.

Bagi Azhari Ibrahim, 53, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) berkata dia memilih untuk menetap di Putrajaya kerana pusat pentadbiran kerajaan itu mempunyai pelbagai kemudahan serta aksesibiliti yang baik buat golongan OKU.

“Saya seorang OKU dan isteri saya juga seorang penjawat awam. Sudah lama kami mengimpikan untuk memiliki sebuah kediaman untuk kami sekeluarga di sini.

“Faktor kemudahan seperti aksesibiliti yang baik serta pembinaan stesen Mass Rapid Transit yang menghubungkan Putrajaya dengan bandar di sekitarnya membuatkan saya tidak berlengah untuk mengisi borang PPAM secara online ketika ia mula dibuka dan pada November 2021, saya menerima tawaran untuk sebuah unit OKU di tingkat satu dengan harga mampu milik subsidi daripada kerajaan,” kongsinya.

Azhari meluahkan rasa syukur dan setinggi penghargaan serta terima kasih kepada kerajaan kerana membangunkan rumah mampu milik untuk kakitangan kerajaan dan beri peluang untuk memiliki rumah di dalam bandar terutama di Putrajaya.

“Saya dan keluarga bercadang untuk menduduki rumah baru tersebut dalam masa terdekat setelah penyerahan kunci dibuat pada 1 Jun lalu. Ia merupakan satu tarikh yang bersejarah buat kami sekeluarga,” ujarnya.

Terdahulu, Majlis Penyerahan Kunci PPAM Madani Dalur, Presint 18, Putrajaya telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertempat di Dewan Seri Madani Dalur baru-baru ini.

Sebagai rekod, bangunan blok setinggi 37 tingkat itu terdiri daripada 500 unit kediaman mampu milik khusus untuk penjawat awam berkeluasan 1,000 dan 1,200 kaki persegi dengan harga tidak melebihi RM260,000 jauh lebih rendah dengan nilai semasa pasaran. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas