PEMILIK kenderaan diesel persendirian dan orang awam tidak layak menikmati diesel bersubsidi menggunakan fleet card, sebaliknya mereka yang terjejas akibat pelarasan harga minyak boleh membuat permohonan bantuan kewangan di bawah Program Bantuan Subsidi Madani seperti BUDI.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam jawapan bertulisnya kepada Prabakaran M Parameswaran (Batu), berkata subsidi yang dilaksanakan KPDN melalui mekanisme Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk memastikan hanya golongan yang layak saja boleh menikmati diesel bersubsidi menggunakan fleet card seperti syarikat pengangkutan awam dan syarikat pengangkutan barangan bagi memastikan kos perkhidmatan dan barangan keperluan tidak dibebankan kepada pengguna.
“Penyasaran subsidi diesel ini juga bertujuan untuk membanteras ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi yang berlaku secara berleluasa akibat pemberian diesel bersubsidi secara pukal di stesen minyak dengan pelarasan harga diesel di stesen minyak di Semenanjung Malaysia.
“Bagi orang awam atau pemilik kenderaan diesel persendirian yang terjejas akibat pelarasan harga minyak di stesen minyak, kerajaan amat prihatin berhubung perkara ini dan telah menyediakan bantuan kewangan di bawah Program Bantuan Subsidi MADANI seperti BUDI Individu.
“Mana-mana orang awam atau pemilik kenderaan diesel berkelayakan dan memenuhi memenuhi kriteria ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) termasuklah mereka yang mempunyai kenderaan diesel yang berusia 12 tahun dan ke atas atau kurang daripada RM40,000 harga pasaran boleh memohon bantuan tersebut daripada MOF,” KPDN dalam kenyataannya.
Terdahulu Prabakaran meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan adakah kementerian berhasrat untuk memperluas permohonan diesel bersubsidi dan fleet card kepada golongan orang awam tidak meniaga yang memiliki kenderaan diesel berusia 12 tahun dan ke atas atau kurang daripada RM40,000 harga pasaran. – WILAYAHKU