Berita

Pemilihan PKR: Zahir Hassan tidak tolak bertanding di Cabang Wangsa Maju

- Diterbit 15 Disember 2024 4:58 PM MYT

KETUA Cabang Titiwangsa PKR, Zahir Hassan tidak menolak kemungkinan akan bertanding di Cabang Wangsa Maju pada pemilihan parti itu yang akan diadakan tahun hadapan.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan partinya terus dapat diperkukuhkan dan terus dapat berkhidmat kepada rakyat di Wangsa Maju.

“Formula saya secara peribadi memikirkan bagaimana nak kukuhkan parti sama ada terus tinggal atau bertanding di cabang Titiwangsa atau pindah di Wangsa Maju.

“(Sebelum ini) parti memilih bertanding di Wangsa Maju. Sudah dua tahun lebih di Wangsa Maju, saya fikir sesuai nak pastikan khidmat rakyat dilakukan lebih berlipat kali ganda,” katanya ketika ditemui pada Kongres Nasional Khas di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.

Menurut Zahir yang juga Ahli Parlimen Wangsa Maju berkata jika bertanding di cabang Parlimen itu juga menjadikan khidmatnya lebih baik secara langsung kepada anggota parti dan warga Wangsa Maju.

Dalam pada itu, Zahir yang juga
Ketua Setiausaha Pengelola Pusat PKR berkata Kongres Nasional Khas hari ini juga yang meminda perlembagaan juga bagi memperkukuhkan lagi parti.

Beliau berkata PKR sudah lebih 25 tahun telah melalui pelbagai pengalaman.

“Makna nak ubah dan kita nak kukuhkan lagi. Kita nak pastikan representasi 30,000 anggota akan terlibat secara pemilihan parti utama.

“Kongres tempat reformasi kita lakukan. Kena lakukan sesuai perubahan berlaku sekeliling,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas