‘PILIH kepimpinan berintegriti’.
Demikian tegas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada semua ahli parti yang menjalankan tanggungjawab mengundi dalam pemilihan hari ini.
Malah menurut beliau, pemimpin yang hendak dipilih itu perlu amanah serta benar-benar membawa suara rakyat terbanyak.
“Seperti yang sering saya tegaskan, PKR bukan sekadar parti politik, namun wadah perjuangan rakyat.
Maka, pilihlah kepimpinan yang berintegriti, amanah dan benar-benar membawa suara rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Anwar memberitahu, proes pengundian itu harus berlangsung dalam semangat kekeluargaan dan penuh etika, menjauhi budaya yang memecahbelahkan.
“Demokrasi dalaman parti perlu diperkukuh demi masa depan yang lebih utuh.
“Insya-Allah, usaha dan ikhtiar kita akan dipermudahkan demi Malaysia yang lebih adil dan makmur untuk semua,” katanya.
SSehingga tarikh tutup pencalonan, seramai 16,878 calon telah disahkan bertanding bagi pelbagai peringkat jawatan di 222 cabang, dengan 31 cabang pula menyaksikan tiada pertandingan di peringkat Jawatankuasa Cabang.
Proses pemilihan kali ini turut menyaksikan jumlah pengundi berdaftar yang menggalakkan, mencapai sehingga 296,403 anggota layak mengundi. – WILAYAHKU