Berita

Pemerkasa tambahan: Perkeso lanjut tarikh akhir permohonan PSU hingga 31 Julai

PELANJUTAN itu selaras dengan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh pemberian bantuan PSU selama sebulan, bagi semua sektor ekonomi yang terkesan akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh mulai hari ini hingga 14 Jun. Kredit foto oleh: Astro Awani PELANJUTAN itu selaras dengan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh pemberian bantuan PSU selama sebulan, bagi semua sektor ekonomi yang terkesan akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh mulai hari ini hingga 14 Jun. Kredit foto oleh: Astro Awani
- Diterbit 1 Jun 2021 1:32 PM MYT

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini mengumumkan pelanjutan tarikh akhir permohonan Program Subsidi Upah (PSU) dari 30 Jun ke 31 Julai depan, kata Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Beliau berkata pelanjutan itu selaras dengan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh pemberian bantuan PSU selama sebulan, bagi semua sektor ekonomi yang terkesan akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh mulai hari ini hingga 14 Jun.

Jelasnya, subsidi itu akan disalurkan secara automatik kepada majikan yang telah memohon di bawah PSU 3.0 dan mereka hanya perlu mengemas kini senarai pekerja sebelum 15 hari bulan pada bulan berkenaan.

“Bagi majikan yang telah memohon PSU 1.0 atau PSU 2.0, tetapi tidak PSU 3.0, mereka perlu membuat pemohonan baharu di bawah PSU 3.0,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelanjutan tempoh PSU di bawah pakej bantuan Program Strategik Memperkasakan Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Tambahan).

Mohammed Azman berkata PSU yang diperkenalkan sejak 1 April 2020, telah berjaya membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar dapat meneruskan operasi syarikat tanpa memberhentikan pekerja mereka.

Sehingga 30 Mei 2021 katanya, Perkeso telah meluluskan sebanyak 330,586 permohonan daripada majikan yang memberi manfaat kepada 2.72 juta pekerja dengan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM15.04 bilion.

Senarai soalan lazim berkenaan lanjutan Program Subsidi Upah 3.0 di bawah PEMERKASA Tambahan akan dimuat naik ke laman web rasmi Perkeso di www.perkeso.gov.my dalam masa terdekat dan untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Careline Perkeso di 1-300-22-8000, katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas