Berita

Pembinaan semula Gaza: IKIM akan beri kerjasama optimum

Foto: AFP
- Diterbit 31 Januari 2025 2:42 PM MYT

INSTITUT Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) komited dalam menyokong dan mengukuhkan usaha menyumbang kepada pembangunan semula Gaza selaras dengan prinsip keadilan sosial dan kemanusiaan sejagat.

Demikian ditegaskan Ketua Pengarahnya, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Azam Mohamed Adil mengenai sokongan terhadap komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggerakkan usaha pembinaan sekolah, hospital dan masjid di Gaza sebagaimana yang diumumkan pada 29 Januari lalu.

Menurut beliau, inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan Malaysia terhadap kesejahteraan rakyat Palestin tetapi menegaskan peranan negara sebagai peneraju memperkukuh solidariti kemanusiaan antarabangsa dan tanggungjawab moral membantu masyarakat yang terkesan oleh konflik.

“IKIM turut menyambut baik penubuhan dan pemerkasaan Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi, yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan dikelolakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Yayasan Waqaf Malaysia.

“Jawatankuasa ini berfungsi sebagai platform penyelarasan bagi menggembleng potensi dan sumber secara holistik, dengan matlamat utama memastikan usaha pembangunan semula Gaza dilaksanakan secara berkesan, berstruktur, dan berkesinambungan.

Dalam hubungan ini, IKIM akan memberikan kerjasama pada tahap optimum bagi memastikan kejayaan matlamat yang disasarkan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Azam berkata, IKIM berpandangan bahawa komitmen yang dinyatakan Perdana Menteri amat signifikan, mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan sebagai Pengerusi ASEAN.

Dalam konteks geopolitik katanya, Malaysia berada dalam kedudukan yang strategik untuk menjalin kerjasama erat dengan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, dan negara-negara Asia Barat lain yang mempunyai kapasiti ekonomi yang kukuh.

“Melalui jaringan ini, usaha pembinaan semula Gaza dapat dilaksanakan secara sistematik dan lebih mampan.

“Pada peringkat ASEAN, Malaysia juga boleh menggerakkan inisiatif serantau yang lebih menyeluruh untuk memperkukuh peranan negara-negara jiran dalam menyokong kestabilan dan pembangunan semula Palestin,” katanya.

Tambahnya, pada peringkat domestik pula, sokongan dan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat merupakan elemen penting dalam menjayakan misi pembangunan semula Gaza.

Katanya, institusi berkaitan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berpotensi memainkan peranan utama dalam menyediakan sumber kewangan, kepakaran teknikal serta membina jaringan strategik yang diperlukan untuk memastikan keberkesanan inisiatif ini.

“Selain itu, penglibatan NGO juga wajar diperkasakan bagi menyediakan sokongan logistik dan menggerakkan jaringan sukarelawan bagi mempercepatkan penyampaian bantuan secara berkesan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas