Berita

Pembinaan projek lebuhraya EKVE punca banjir di Taman Sri Nanding

MENURUT Perdana Menteri, banjir ini bukan sahaja disebabkan air hujan, tetapi (tinjauan) di Taman Sri Nanding tadi (mendapati) kerana projek EKVE.
- Diterbit 26 Disember 2021 6:02 AM MYT

PROJEK pembinaan lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) merupakan antara punca banjir genang yang berlaku di Taman Sri Nanding sehingga menyebabkan kemusnahan besar kepada penduduk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil pemantauannya di kawasan perumahan itu, beliau mendapati longkang tertutup dan menganggu sistem saliran di situ.

Ia menyebabkan air Sungai Langat yang terletak di belakang kawasan perumahan itu melimpah hingga menenggelamkan rumah di kawasan itu.

“Banjir ini bukan sahaja disebabkan air hujan, tapi (tinjauan) di Taman Sri Nanding tadi (mendapati) kerana projek EKVE.

“Longkang tertutup dan sebagainya menyebabkan banjir lebih cepat,” katanya dalam sidang media di Masjid Al-Muttaqin dekat Dusun Tua selepas meninjau keadaan bencana di Taman Sri Nanding hari ini.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas