PEMBINAAN Projek Perumahan Rakyat (PPR) merupakan antara fokus Kerajaan MADANI dalam memastikan aspek ketersediaan perumahan rakyat dipenuhi khususnya bagi golongan berpendapatan rendah (B40), ujar Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Beliau berkata, projek tersebut dilaksanakan seiring dengan hasrat kerajaan dalam menyediakan dan memastikan 500,000 unit rumah mampu milik disediakan di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12.
“Sejak program PPR ini diperkenalkan pada tahun 1998, sebanyak 170 projek yang melibatkan 105,637 unit rumah telah siap dibina di seluruh negara dan memberi manfaat yang besar khususnya kepada golongan B40.
“Manakala 16 projek dengan kapasiti 5,773 unit rumah sedang dalam peringkat pembinaan dan sebanyak 19 projek yang meliputi 4,986 unit dalam perancangan,” ujar beliau dalam kenyataan.
Terdahulu, Aiman Athirah menyaksikan Majlis Penyerahan 404 unit PPR Ampar Tenang, Dengkil, Selangor kepada Jabatan Perumahan Negara (JPN).
PPR Ampar Tenang merupakan penempatan semula penduduk pekerja ladang dari Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgely yang telah ditempatkan secara sementara di Rumah Kos Rendah (RKR) Taman Permata, Dengkil, Selangor.
Projek PPR Ampar Tenang merupakan kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor melalui pengambilan tanah estet milik Sime Darby Sdn Bhd bernilai RM15 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri. Tanah ini kemudiannya telah dipindah milik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) bagi tujuan pembangunan Projek PPR Ampar Tenang.
“Projek ini menerima sijil Penyiapan dan Pematuhan atau Certificate Of Completion And Compliance (CCC) pada 31 Disember 2024.
“Kerajaan Persekutuan akan menyediakan peruntukan pembangunan untuk membantu dari segi pemberian subsidi dan Kerajaan Negeri pula akan menyediakan tanah bagi tujuan pembangunan,” ujarnya.
Tambahnya pada masa ini sebanyak 10 projek PPR telah dan sedang dilaksanakan di Negeri Selangor yang merangkumi 8 projek siap (8,220 unit), 1 projek yang masih dalam pembinaan (245 unit) dan 1 projek di dalam perancangan (200 unit). – WILAYAHKU