Labuan

Pembinaan jambatan Labuan-Menumbok bakal jadi ‘’Game Changer” kepada ekonomi Labuan – Dr Zaliha

- Diterbit 15 Januari 2024 4:59 PM MYT

CADANGAN pembinaan jambatan Labuan – Menumbok (Sabah) akan menjadi ‘game changer’ yang membawa impak ekonomi yang positif kepada Labuan, katanya Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, penduduk Labuan dan Sabah boleh terus menaruh harapan untuk pembinaan jambatan itu di realisasikan yang bakal menghubungkan pulau itu dengan tanah besar Sabah.

Walaubagaimanapun, Zaliha berkata sebelum merealisasikan cadangan itu keperluan untuk kajian teknikal secara komprehensif perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi menilai anggaran kos projek cadangan itu.

“Pada pandangan peribadi saya mengenai jambatan yang dicadangkan ini ialah ia boleh menjadi satu game changer yang membawa impak ekonomi yang positif ekonomi Labuan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan program Temu Rapat Dr Zaliha Edisi Labuan bersama pemimpin masyarakat di auditorium Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS), hari ini.

Dr Zaliha menekankan kepentingan menjalankan kajian kebolehlaksanaan baharu, memandangkan landskap ekonomi yang semakin berkembang.

Beliau menekankan kajian lepas oleh universiti tempatan mungkin tidak sepenuhnya relevan dengan keadaan ekonomi semasa.

“Oleh itu, kita mungkin memerlukan kajian teknikal baharu untuk mendapatkan anggaran kos dan menilai kesan ekonomi terhadap Labuan,’’ jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas