PEMBEKUAN permohonan kuota penggajian pekerja asing diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hal demikian kerana jumlah pekerja asing dalam negara setakat 15 September lalu didapati menghampiri jumlah siling yang ditetapkan.
“Jumlah pekerja asing dalam negara dipandu oleh ketetapan Kementerian Ekonomi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu sebanyak 15 peratus daripada keseluruhan guna tenaga kerja dalam negara.
“Kementerian Dalam Negeri sentiasa memantau kemasukan pekerja asing bagi memastikan pematuhan kepada siling yang ditetapkan seterusnya menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
“Maka, dimaklumkan bahawa pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing adalah diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu katanya, tempoh pendaftaran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 telah tamat pada 31 Disember tahun lalu.
“Kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk melaksanakan program pemutihan baharu pada masa akan datang,” katanya. – WILAYAHKU