Berita

Pembayaran STR Fasa 1 bermula esok

- Diterbit 21 Januari 2025 11:00 AM MYT

SUSULAN penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) minggu lalu, Kerajaan akan menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 mulai esok.

Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion berbanding RM2.1 bilion pada tahun lalu.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan peruntukan bagi STR Fasa 1 yang jauh melangkaui kadar inflasi negara ini mencerminkan tekad Kerajaan untuk memastikan kebajikan sebilangan besar rakyat kian bertambah baik meskipun berlakunya peningkatan kos sara hidup.

“Kendatipun peningkatan kos sara hidup adalah fenomena yang melanda seluruh dunia, besarlah harapan Kerajaan MADANI agar peningkatan sumbangan SARA dan STR saban tahun ini dapat membantu rakyat menggapai kehidupan yang lebih berdarjat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan tersebut secara keseluruhan, Program STR dan SARA pada tahun 2025 akan memanfaatkan hampir sembilan juta penerima atau 60% daripada penduduk dewasa.

“Bagi STR dan SARA 2025, Kerajaan telah melonjakkan kadar maksimum untuk isi rumah kepada RM4,600 tahun ini iaitu kenaikan hampir 25% berbanding RM3,700 tahun lalu.

“Pembayaran STR Fasa 1 akan disalurkan secara berperingkat mulai Rabu, 22 Januari 2025 kepada penerima yang berdaftar di dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank mereka atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing,” katanya.

Tambahnya permohonan baharu dan kemas kini bagi STR akan dibuka sepanjang tahun.

“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my, bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.

“Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR juga boleh didapati di portal rasmi STR. Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk informasi mengenai program STR,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas