DESAS-DESUS berhubung isu proses naik taraf Pasar Jalan Raja Bot atau Pasar Chow Kit di Kampung Baru yang dikatakan tertangguh hampir 10 tahun akhirnya akan diselenggarakan semula dengan perbelanjaan kos dijangka sebanyak RM125.8 juta.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said ketika menjawab soalan Johari Ghani (BN-Titiwangsa) berhubung persoalan yang timbul mengenai bila ia akan siap dan sama ada kerajaan
telah memberi kelulusan untuk membina semula pasar itu yang katanya telah terbengkalai selama tempoh tersebut.
Azalina menjelaskan pembangunan semula pasar itu tidak terbengkalai sebaliknya dilaksanakan secara berfasa sehingga tarikh jangkaan siap pada fasa terakhir iaitu Oktober 2025.
“Projek pembangunan pasar terbabit disiapkan secara berperingkat yang mana Fasa 1 telah siap sepenuhya pada 25 April 2016 kemudian diteruskan ke Fasa 2 yang mana pasar itu berada pada tahap 90 peratus siap dan ditetapkan untuk siap pada 19 Mei tahun ini.
“Fasa 3 dijangka siap pada 6 Disember 2024 dan Fasa 4 pula pada 12 Oktober 2025,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang rasmi parlimen.

Ketika di parlimen, Johari Ghani yang merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa itu turut menekankan bahawa pembangunan semula Pasar Jalan Raja Bot dianggap sebagai masalah utama di kawasannya.
Beliau turut berkata kerajaan perlu memastikan kontraktor yang dilantik untuk projek itu layak dan mampu menyiapkan kerja tepat pada masanya.
Walau bagaimanapun, Azalina menjelaskan kontrak kontraktor utama bagi pelaksanaan projek itu telah ditamatkan pada 18 Ogos 2021 namun kontraktor baharu telah dilantik melalui tender terbuka pada 26 September tahun lepas. – WILAYAHKU