HUMANITARIAN Care Malaysia (MyCARE) mengajak rakyat Malaysia, tak mengira agama mahupun bangsa, bersama menyokong kepada pembangunan semula Gaza yang teruk dihentam dengan kekejaman zionis.
Malah Penasihat Kehormat MyCARE, Dr Hafidzi Mohd Noor juga menasihatkan semua pihak supaya usah sinis sehingga mengeluarkan pepatah ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’ terhadap segala misi kemanusiaan, sama ada di Palestin mahupun negara luar yang berdepan bencana.
Menyokong pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai usaha kerajaan Malaysia membangunkan semula Gaza, katanya setiap negara sememangnya amat bergantung kepada satu sama lain.
“Mengatakan ‘kera di hutan disusukan’, ini respons klise yang akan disuarakan dalam isu-isu berkaitan membantu masyarakat antarabangsa atau luar negara. Banyak insiden, apabila kerajaan Malaysia atau badan bukan kerajaan (NGO) menyatakan hasrat membantu negara luar, akan ada suara-suara sumbang macam ini.
“Saya rasa kita tak perlu ambil peduli dengan suara sinis sebegini. Termasuk ketika kita nak bantu Turkiye yang dilanda gempa bumi beberapa tahun lalu, kita dengar respons yang sama juga.

“Ingat, setiap negara memang bergantung kepada satu sama lain, mungkin di mana kita pula nanti, kita juga mungkin bergantung kepada negara luar dari sudut mendapatkan pertolongan. Sebab ini adalah kemanusiaan,” katanya kepada Wilayahku.
MyCARE merupakan antara NGO yang aktif menjalankan misi kemanusiaan di kebanyakan negara terutama yang dilanda bencana serta konflik peperangan.
Bergerak bersama institusi lain termasuk swasta, MyCARE melalui hasil sumbangan rakyat Malaysia yang disalurkan menerusi tabung kemanusiaan telah berjaya membina Sekolah Malaysia antaranya di Syria dan Yaman.
Terdahulu, Hafidzi memberi respons mengenai cakap-cakap sinis sesetengah pihak mengenai pengumuman Perdana Menteri dalam aspek Pembangunan semula Gaza.
Menurutnya apa yang dilakukan kerajaan Malaysia melalui kerjasama strategik dengan Jepun merupakan nilai tambah kerana ia melibatkan satu kuasa ekonomi dunia iaitu negara matahari terbit itu.
“Apabila kerajaan Jepun sedia bekerjasama, ia menunjukkan satu trust (kepercayaan), Perdana Menteri Berjaya mendapatkan kepercayaan dari Jepun. Bahkan ia memberikan satu vibes yang positif.
“Jepun sebuah negara kumpulan G7 iaitu pertubuhan dianggotai tujuh negara maju yang juga kuasa besar ekonomi dunia. Bagi kami, inilah kerjasama pintar tetapi dengan Jepun, impaknya positif,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan MyCARE mengenai Pembangunan semula Gaza, katanya NGO itu telah bantu Gaza sejak 14 tahun lalu dalam bentuk bantuan kemanusiaan, makanan, ubat-ubatan selain memberikan modal untuk perusahaan kilang roti, ladang ternakan lembu tenusu dan sebagainya.
Namun mendukacitakan jelasnya, semua projek yang diusahakan itu musnah sepenuhnya oleh kerana serangan dilakukan rejim zionis sejak 7 Oktober 2023.
“Bukan sahaja Projek MyCARE, banyak projek NGO lain juga musnah. Sebab serangan kali ini sangat intensif dan dari segi bom yang digugurkan itu lima kali lebih besar daripada apa yang digugurkan di Hiroshima (Jepun),” katanya.
Biarpun begitu katanya, sejak serangan zionis pada 2023, MyCARE telah dapat mengumpul RM17 juta untuk disalurkan dalam bentuk projek-projek pembangunan di Gaza.
“Kami ada pejabat di Gaza yang diuruskan oleh warga Gaza sendiri iaitu Dr Ziad M.M. Shehada. Melaluinya kami dapat input dan maklum balas mengenai apa keperluan semasa di sana.
“Contohnya beliau memberitahu Gaza ketika ini amat memerlukan bantuan khemah untuk perlindungan sementara penduduk. Bantuan lain dari segi bekalan air bersih.
“Lain-lain projek yang sedang kami usahakan adalah bantuan perubatan, kami cuba menghantar doktor-doktor perubatan dengan kerjasama NGO lain,” katanya yang menambah sukarelawan MyCARE merancang untuk masuk ke Gaza apabila keadaan mengizinkan nanti.
Beliau kemudiannya mengingatkan pengkritik terhadap sebarang usaha misi kemanusiaan supaya mengingati pesanan Rasulullah SAW.
“Apa Rasulullah SAW pesan? Jika kita tidak ada sesuatu yang baik untuk diperkatakan, adalah lebih baik diam.
“Harapan kami semua pihak fahami keadaan semasa Gaza. Mereka dikepung, dikenakan sekatan ekonomi. Cuba letak diri kita dalam keadaan mereka di mana mereka tidak dilindungi, menjadi mangsa genosid,” tegasnya. – WILAYAHKU