PEMBANGUNAN semula Gaza bakal melibatkan kos sebanyak AS$1 trilion (RM4.47 trilion) dan mengambil masa lima ke 10 tahun.
Demikian jelas Charge d’Affaires Kedutaan Palestin ke Malaysia, Mohammed Abudagga kepada Wilayahku mengenai anggaran diperlukan untuk membangunkan semula Gaza yang musnah akibat keganasan dilakukan rejim zionis Israel.
Malah kata beliau, keadaan Gaza ketika ini amat dahsyat. Beliau sendiri kehilangan beberapa ahli keluarga yang terkorban di tangan-tangan kejam zionis sepanjang perang sejak 7 Oktober 2023.
Ini termasuk sepupunya yang juga seorang wartawan di Gaza, Samer Abudagga selain dua bapa saudara dan ibu saudaranya.
Kediaman beliau di Khan Yunis juga musnah. Ini merupakan kali kedua rumah ahli keluarganya di wilayah itu hancur selepas 2009.
Dalam tempoh 15 bulan yang cukup sengsara itu, 46,707 orang penduduk di Gaza dilaporkan terbunuh, termasuk 18,000 daripadanya kanak-kanak. Walau bagaimanapun, melihat kepada dahsyatnya keadaan di Gaza, ramai penganalisis dan Kumpulan hak asasi manusia percaya jumlah kematian pastinya melebihi daripada apa yang dilaporkan itu.
Sekurang-kurangnya 110,265 orang di Gaza cedera ekoran perang berkenaan. Kanak-kanak antara yang paling terjejas teruk.
Selain jumlah korban yang disahkan, ribuan dilaporkan tertimbus di bawah runtuhan bangunan. Menurut Pihak Berkuasa Kualiti Alam Sekitar Palestin, dianggarkan sebanyak 85,000 tan bahan letupan telah digugurkan di Gaza.
Hampir 1.9 juta penduduk di Gaza hidup merempat dengan 80 peratus daripadanya tinggal di tempat perlindungan sementara, tanpa pakaian mencukupi terutama ketika berdepan musim sejuk baru-baru ini.
Statistik tersebut yang dikongsi pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) Palestin turut diakui Mohammed Abudagga mengikut pelaporan yang diterimanya, terutama daripada badan antarabangsa.
“Kalau awak tanya saya berapa lama diperlukan untuk membangunkan semula Gaza, lihatlah sendiri keadaan di sana, musnah teruk. Paling minimum, lima tahun, itu pun tidaklah menyeluruh melihat kepada dahsyatnya Gaza ketika ini.

“Kos yang saya sebutkan itu anggaran, mungkin lebih daripada itu,” katanya dalam temu bual yang diatur oleh pihak kedutaan kepada Wilayahku. Beliau kini bertindak selaku Charge d’Affaires susulan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berada di luar negara untuk menjalani rawatan kesihatan.
ZIONIS KAWAL PINTU SEMPADAN
TERDAHULU Mohammed Abudagga melahirkan rasa terharu dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia dan Jepun akan menubuhkan dana melalui kegiatan Asia Timur bagi program pembangunan semula Gaza dan Palestin susulan gencatan senjata yang telah dicapai baru-baru ini. Malaysia akan menjayakan usaha bersama rakyat dan sektor swasta untuk memulakan pembinaan sekolah, hospital dan masjid.
Sebelum ini Malaysia akan bekerjasama dengan Jepun bagi menyegerakan pembangunan semula Gaza berikutan gencatan senjata yang telah dicapai. Jepun juga meminta Malaysia menjadi pengerusi bersama bagi menganjurkan persidangan mengenai kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai ini, khususnya berkaitan pembangunan semula Gaza.
“Malaysia tanpa jemu membantu Palestin. Kami juga percaya kerjasama Malaysia dan Jepun ini amat penting dalam usaha menyokong Palestin. Kami amat menghargai usaha ini,” jelas Mohammed Abudagga.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan Malaysia yang menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara menyertai Kumpulan The Hague bagi menyelaraskan tindakan perundangan, diplomatik dan ekonomi terhadap pencabulan undang-undang antarabangsa oleh Israel sebagai langkah penting ke arah menamatkan pendudukan rejim zionis.
Penubuhan Kumpulan The Hague bertujuan menamatkan penjajahan Israel di tanah Palestin serta menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan menubuhkan sebuah negara merdeka.
Katanya, ketika ini penduduk di Gaza amat memerlukan bantuan perubatan, tempat perlindungan yang selamat, makanan selain perlindungan keselamatan mengikut undang-undang antarabangsa.
Namun begitu jelasnya, Israel ketika ini masih menguasai pintu sempadan di Gaza yang sedikit sebanyak menyukarkan misi kemanusiaan termasuk bantuan masuk ke wilayah itu.
Memburukkan lagi keadaan, tentera zionis juga mengawal kemasukan bantuan kemanusiaan khususnya di Rafah yang terletak di sempadan selatan Gaza dan Mesir.
“Mereka (zionis) mengawal sempadan, mereka juga mengawal laluan laut termasuk mengawal daftar penduduk Palestin sejak 1967. Ini bermakna mereka mempunyai kuasa penuh dalam mengeluarkan kad pengenalan dan passport Palestin serta menentukan siapa yang dibenarkan masuk dan keluar dari Palestin.
“Mereka mengawal kemasukan misi kemanusiaan dan membuat pelbagai sekatan,” katanya.
Atas sebab itu jelasnya, Palestin amat menghargai usaha dilaksanakan Malaysia dan Jepun dalam membangunkan semula Gaza, terutamanya Malaysia yang konsisten menyokong hak asasi Palestin selain hak mendirikan sebuah negara berdaulat.
“Malaysia sebagai negara membangun dan Jepun antara kuasa ekonomi dunia, apabila keduaduanya bergabung, ia amat penting bagi kami.
“Usaha ini bukan sahaja berkaitan pembangunan semula Gaza, tetapi ia mesej penting kepada dunia bahawa kedua-dua negara ini menyokong perjuangan Palestin. Ia mesej jelas, daripada kerajaan Malaysia, bahawa Malaysia juga menolak sebarang cubaan memindahkan penduduk Gaza,” katanya.
LEBIH 800 MASJID MUSNAH
BERCAKAP mengenai kemusnahan di Gaza, Mohammed Abudagga memberitahu, lebih 137 buah sekolah dan institusi pendidikan di Gaza musnah sepenuhnya manakala 357 lagi musnah sebahagian.
Katanya, 34 buah hospital turut musnah dan bertambah menyedihkan apabila 800 masjid juga menjadi sasaran kemusnahan zionis.
Bagi ratusan ribu penduduk yang berada di luar Gaza pula katanya, jangan berharap mereka dapat pulang semula ke kampung halaman masing-masing.
“Ini kerana zionis yang mengawal segala-galanya. Sebagai contoh ada pelajar Palestin yang menyambung pengajian di Malaysia, mereka ini tidak dibenarkan pulang ke Gaza kerana Israel tidak membenarkan mereka melintasi sempadan.
“Bagi zionis, rakyat Palestin boleh tinggalkan Gaza tetapi tidak semua boleh dibenarkan pulang semula ke Gaza,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana membawa masuk rakyat Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan di negara ini.
“Besar harapan kami agar Malaysia dapat terus menyokong kami. Malaysia sudah seperti keluarga kami yang tak putus-putus menyokong kami,” katanya. – WILAYAHKU