MAJLIS Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan akan terus komited dalam memacu semula pembangunan Labuan.
Menurut Pengerusinya, Datuk Azman Abidin, sebelum ini Labuan di bawah seliaan MPN Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah dan ia telah dikembalikan semula kepada MPN Wilayah Persekutuan.
Katanya, dengan pertukaran MPN itu jelas menunjukkan bahawa kesungguhan kepimpinan tertinggi MPN mahu melihat pembangunan di pulau ini dapat dipacu.
“Pada kali ini, saya bersama rombongan Kepimpinan Tertinggi Keadilan Wilayah turun ke Labuan meraikan rakan-rakan Keadilan di sini.
“Dengan perubahan Labuan di bawah seliaan MPN Wilayah Persekutuan adalah bertujuan untuk memberikan fokus yang lebih kepada Labuan terutamanya dari segi pembangunan Labuan yang agak ketinggalan berbanding wilayah lain.
“Bagi kita Labuan merupakan satu wilayah yang penting kerana memiliki kedudukan perantara perniagaan yang strategik di antara Sabah, Sarawak, Brunei dan Filipina yang berpontensi besar.
“Ini adalah matlamat kita untuk Labuan bukan sahaja dari sudut politik malah dalam pembangunan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan kepada 100 asnaf di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Azman memaklumkan kini pelbagai pihak pelabur luar telah menunjukkan minat dalam pelaburan perbankan, digital dan sebagainya.
“Perkara ini merupakan salah satu perkara yang amat baik dan perlu kita manfaatkan namun Labuan masih mempunyai masalah kekurangan pembangunan infrastruktur asas yang perlu diatasi terlebih dahulu.
“Selain itu, pada masa ini kita akan menyelesaikan masalah itu diperingkat domestik dan bulan ini syarikat penerbangan AirAsia telah menambah penerbangan ke Labuan dan kita berharap ia akan diikuti oleh syarikat penerbangan yang lain,” katanya. – WILAYAHKU