MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menegaskan bahawa sebarang pembangunan di Kampung Baru akan mengambil kira sejarahdan status tanah demi memastikan kawasan itu kekal sebagai kampung Melayu.
Jelasnya langkah tersebut bagi memastikan penempatan Melayu di tengah bandar raya yang yang terkenal dengan ciri-ciri tradisional itu harus kekal terpelihara namun dalam masa sama menjadi pemangkin kepada pembangunan ibu negara.
“Ciri-ciri kemelayuan itu akan kita kekalkan (dalam pembangunan). Kampung Baru ini penuh dengan sejarah, terkenal dengan tradisi (contohnya) makanannya. Akhirnya Kampung Baru akan menjadi pemangkin
kepada pembangunan keseluruhan Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena 125 Tahun penubuhan Kampung Baru di Masjid Jamek Kampong Bharu malam tadi.
Hadir sama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Sementara itu, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata beliau mengingatkan kepada pemaju yang berminat memajukan Kampung Baru agar melibatkan semua pihak sebagai pemegang taruh bagi menangani sebarang perkara berbangkit seperti mana yang berlaku pada pembangunan Kampung Sungai Baru Kampung Baru.
Katanya, pembangunan di kawasan itu berdepan masalah berikutan ada beberapa kelompok yang tidak menyatakan persetujuan sehingga menyulitkan pembangunan berkenaan.
“Ada sebahagian penduduk di kawasan itu telah dipindahkan dan ia telah melebihi enam tahun dan pada masa sama proses pembangunan tidak selesai kerana pemaju melaksanakan projek ini seperti pembangunan kawasan setinggan dan tidak mempertimbanvjan aspek sejarah selain tidak mengambil kira pandangan penduduk.
“Oleh itu, sebarang pembangunan memang kita galakkan namun pemaju perlu mengambil kita sejarah kampung ini,” kata beliau.
Terdahulu, lebih 700 penduduk Kampung Baru menyertai majlis yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB). – WILAYAHKU
[Iklan]