Berita

Pembangunan bandar teknologi tawar lebih 2,000 peluang pekerjaan

Foto: Fahmi Fadzil
- Diterbit 18 November 2024 11:58 AM MYT

PEMBANGUNAN Bandar Teknologi Maju Perlis di Chuping yang dijadual bermula tahun hadapan akan mewujudkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan secara langsung dalam bidang berkaitan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata projek yang melibatkan keseluruhan kos mencecah AS$11 bilion (RM49.17 bilion) itu dijangka mula beroperasi secara berperingkat pada pertengahan 2027.

“Ini merupakan satu pelaburan yang sangat strategik di Chuping, di mana akan dibina prasarana bagi memuatkan sehingga 1.25 gigawatt (GW) pusat data AI (Kecerdasan Buatan) adalah satu game changer.

“Saya hadir untuk menyaksikan dan memberi dokongan kepada usaha yang akan meletakkan Perlis di peta dunia,” katanya kepada media hari ini.

Beliau ditemui selepas mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Utama, Pembangunan Bandar Teknologi Maju Perlis melibatkan usaha sama Sirage Capital Sdn Bhd dan Skyvast Sdn Bhd.

Sementara itu, Fahmi berkata projek itu juga akan memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara menerusi jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi awam seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) atau mana-mana institusi berkaitan TVET.

“Anak-anak muda kita akan dapat kemahiran, untuk bantu pengoperasian bandar teknologi ini selain mahir dan memanfaatkan teknologi AI.

“Jadi mereka akan memanfaatkan sumber tenaga sama ada solar, bateri simpanan ataupun turbin gas yang berupaya memungkinkan pusat data 1.25GW ini beroperasi dengan baik.

“Sebab itu pelaburan strategik ini di Chuping kerana uniknya ia antara tempat yang menerima jumlah matahari tertinggi (di Malaysia) selain disokong bentuk muka bumi bersesuaian pembangunan Bandar Teknologi Maju Perlis ini,” katanya.

Fahmi berkata konsep off-grid itu dilihat akan menarik perhatian banyak syarikat yang ingin memastikan pelaburan mereka menerima penarafan hijau.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi yakin pembangunan berkenaan akan membantu transformasi ekonomi digital negara terutamanya di Perlis. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas