Berita

Pembangkang membelakangkan titah Agong

TINDAKAN pembangkang keluar dewan ketika persidangan menunjukkan sikap membelakangkan titah Diraja dan prinsip Rukun Negara
- Diterbit 1 Mac 2024 8:40 AM MYT

TINDAKAN blok pembangkang yang mempertikaikan ucapan sembah tahniah dan ikrar taat setia terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menunjukkan sikap tidak profesional dan tidak boleh diterima.

Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mujibu Abdul Muis berkata tindakan itu menyerlahkan kualiti sebenar pembangkang di samping dilihat enggan mematuhi titah YDPA yang mengingatkan agar setiap Ahli Parlimen menjaga adab dan tata susila ketika persidangan dijalankan.

“Ketika rakyat biasa merasakan titah daripada YDPA itu adalah satu peringatan keras yang sebelum ini tidak pernah berlaku dalam mana-mana sidang dan baginda menyatakan boleh diambil tindakan, mereka (pembangkang) dilihat mempolemikkan perkara itu dan mengenepikan tahap profesionalisme sebagai Ahli Parlimen.

“Tugas mereka diperlukan bagi memainkan peranan semak imbang dan pada masa sama mereka perlu menerbitkan kualiti perbahasan menerusi perdebatan secara profesional berkenaan dasar-dasar dan saingan-saingan idea yang baik.

“Ia bagi membolehkan Parlimen itu dijadikan medan untuk mencanai dasar terbaik untuk kesejahteraan rakyat, namun itu masih belum dapat dibuktikan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Ujarnya, beliau melihat dua perkara yang boleh disimpulkan menerusi tindakan Ahli Parlimen yang gagal menjunjung prinsip Rukun Negara yang dilafazkan sebelum memulakan sidang itu iaitu ‘kesopanan dan kesusilaan’.

“Selain itu ia merupakan satu pelanggaran secara terus titah diraja yang bagi saya merupakan satu kekecewaan sebagai rakyat yang melihat perkara ini,” katanya.

Ditanya mengenai sikap Ahli Parlimen yang membangkitkan isu remeh seperti kedudukan kerusi Ahli Parlimen, Mujibu berkata ia menterjemahkan sikap sebenar mereka yang mahu menjadikan ia sebagai satu kontroversi demi meraih keuntungan politik.

“Bagi saya ini disebabkan hal-hal begini akan membawa kepada kontroversi yang membolehkan mereka eksploitasi situasi untuk menimbulkan keghairahan dalam kalangan penyokong masing-masing dan menerbitkan persepsi yang tidak betul kepada kerajaan yang kononnya memperlihatkan mereka itu seoalah-olah berjuang walau dari sudut yang neutral bagi saya hal-hal yang terbit itu memang betul tiada substance.

“Sebagai contoh mereka walk out beramai-ramai ketika Perdana Menteri selaku Ketua Sidang hendak mengusulkan ucapan sembah tahniah dan ikrar taat setia yang bagi saya sebagai individu yang percaya kepada Rukun Negara itu ‘kesetiaan kepada raja dan negara’, itu perkara yang tidak perlu timbul dan ia dijadikan sensasi.

“Ini juga mungkin hendak mencipta gelombang untuk dan meletakkan persepsi negatif terhadap kerajaan malah lebih teruk lagi seolah-oleh mahu mencipta persepsi buruk terhadap Institusi Diraja seperti yang dititahkan itu, kita juga tidak tahu apa yang dimaksudkan daripada tindakan pembangkang tetapi ia jelas menunjukkan sikap unparliamentary dan tidak profesional,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas