Berita

Pembangkang masa jadi menteri setuju pasukan petugas khas Pulau Batu Puteh ditubuhkan – Azalina

- Diterbit 13 Disember 2024 8:59 AM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membuka pekung pembangkang apabila mendedahkan mereka turut bersetuju supaya pasukan petugas khas berkenaan isu Pulau Batu Puteh ditubuhkan ketika berada di posisi kerajaan sebelum ini.

Menurut Ahli Parlimen Pengerang itu, ia dilakukan ketika pembangkang menjawat jawatan menteri semasa Kabinet Perdana Menteri Kesembilan.

“Kalau kita rujuk laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), saya harap Yang Berhormat (ahli Parlimen pembangkang) yang pernah jadi menteri di bawah YB Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dahulu (semasa menjadi Perdana Menteri kesembilan) tak lupa.

“Bahawa pada 8 Oktober 2021, Jemaah Menteri bersetuju supaya pasukan petugas khas ditubuhkan bagi menyemak semula undang-undang berkenaan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan berkenaan 23 Mei 2008 keputusan dibuat ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa).

“(Tarikh) 22 Disember 2021, dalam mesyuarat Kabinet yang menteri-menteri bersetuju lantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali (bekas Peguam Negara) sebagai Pengerusi kepada pasukan khas itu, (berkenaan) semakan undang-undang (Pulau Batu Puteh),” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan RCI bagi Mengkaji Pengendalian Perkara berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu pembangkang mendakwa usul itu bertujuan mendakwa individu berkaitan.

Azalina menambah, apa yang dilakukan pembangkang ketika menjadi kerajaan sebelum ini bermakna mereka turut bersetuju mengenai isu Pulau Batu Puteh terbabit.

“Tetapi perbezaannya, sampai hari ini, mereka bersetuju laporan ini masih dirahsiakan tetapi Kerajaan MADANI mahukan supaya laporan ini tak dirahsiakan.

“Bendanya sama, bezanya ialah bagi pihak Kerajaan MADANI, kita nak supaya rakyat tahu apa berlaku terutama sekali rakyat Johor. Orang Pengerang nak cari ikan dah kena halau dengan agensi maritim Singapura, tangkap ikan pun tak boleh.

“Task force (pasukan petugas khas) yang mereka (pembangkang ketika menjadi kerajaan) buat, dia dah buat keputusan dia tak nak cerita, kami (Kerajaan MADANI) buat RCI, kami dah buat keputusan, kami cerita (kepada rakyat), takkan itu pun salah? Benda sama, bezanya watak, bentuk,” tegasnya.

Katanya, pembentangan Laporan RCI itu di Dewan Rakyat membuktikan ketelusan Kerajaan MADANI.

Beliau turut menyelar tindakan beberapa Ahli Parlimen yang mendakwa usul itu bertujuan mendakwa individu berkaitan.

“Nak tuduh atau tidak adalah isu Peguam Negara, bukan isu kerajaan. Dalam Perlembagaan, semua tahu bahawa Peguam Negara ialah individu yang bebas.

“Kalau laporan polis ada, polis buat siasatan kemudian Peguam Negara buat keputusan. Kalau setakat hari ini tiada laporan polis, takkanlah kita dalam Dewan boleh arah polis siasat, boleh suruh Peguam Negara dakwa, mana boleh,” katanya.

Berhubung tindakan menghitamkan 47 daripada 217 halaman laporan itu, beliau berkata, ia dilakukan atas faktor keselamatan negara, hubungan diplomatik yang sensitif serta perlindungan privasi individu.

Terdahulu, seramai 10 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul berhubung Laporan RCI setebal 217 muka surat itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas