Berita

Pembangkang lebih sibuk agenda untuk jadi kerajaan

- Diterbit 17 Januari 2025 4:44 PM MYT

KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari menyeru pihak pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan dalam memastikan keberlangsungan demokrasi di Malaysia.

Beliau berkata bagaimanapun, pembangkang kini lebih sibuk dengan agenda politik untuk menjadi kerajaan, daripada menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengawas kepada pentadbiran negara.

“Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang giat membawa suara Malaysia di peringkat antarabangsa dan menarik pelaburan asing untuk manfaat rakyat dan negara, pembangkang lebih sibuk menjatuhkan kerajaan dan saling menamakan calon Perdana Menteri dari kalangan mereka.

“Tidakkah ini bercanggah dengan matlamat sebenar mereka sebagai wakil rakyat. Sebagai contoh, Anwar telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin, termasuk usaha Malaysia untuk merangka Resolusi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  bagi mengusir Israel daripada keanggotaan PBB,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Taufiq, persoalannya, apa yang telah dilakukan oleh Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang sewaktu beliau memegang jawatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah ketika kerajaan Perikatan Nasional berkuasa.

Beliau mempersoalkan apakah hasil konkrit yang telah beliau capai untuk Palestin mahupun Malaysia dalam tempoh tersebut.

“Selain itu, seorang pemimpin negara perlu memiliki karakter yang mampu menyatupadukan masyarakat, bukan sebaliknya.

“Malangnya, Hadi Awang, yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri, sering kali menggunakan isu 3R (raja, agama, kaum) untuk menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

“Malah, tindakan beliau telah mencetuskan kemurkaan Sultan Selangor, satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang berpegang teguh kepada prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya.

Sementara itu, Taufiq mengingatkan pembangkang tanggungjawab utama mereka kini adalah memastikan kerajaan memimpin dengan amanah, telus, dan cekap melalui peranan semak dan imbang.

Katanya, namun, jika dalam kalangan mereka sendiri berlaku ketidakharmonian, bagaimana
mungkin mereka mampu mentadbir negara dengan baik.

“Justeru, saya menggesa pembangkang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan
penuh integriti dan profesionalisme.

“Kerajaan pembangkang perlu fokus pada negeri-negeri yang
ditadbir oleh mereka agar ekonomi di negeri-negeri tersebut menjadi lebih baik dan menguntungkan rakyat, bukan membebankan lagi mereka.

“Hentikanlah politik murahan dan
tumpukan usaha kepada kebajikan rakyat yang telah memberi mandat kepada anda sebagai
wakil mereka,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas