Berita

Pemantauan ibu kota ditingkatkan sempena Aidilfitri

- Diterbit 29 Mac 2025 9:00 AM MYT

JABATAN Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan Kuala Lumpur menjelang cuti perayaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Menurut Pengarahnya, Timbalan Pesuruhjaya (TPj) Mohd Muzammer Jamaluddin, pihaknya telah mengatur strategi bagi menangani cabaran khususnya dari aspek pemantauan sepanjang musim lebaran.

“Dari aspek tugasan sepanjang musim perayaan, ia akan berjalan seperti biasa memandangkan penguat kuasa akan melaksanakan pemantauan tertentu di kawasan yang telah dikenal pasti.

“Selain itu, kami juga akan meneruskan rondaan di seluruh ibu kota bagi memastikan tiada sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan peraturan DBKL,” katanya kepada Wilayahku.

MOHD MUZAMMER

Mohd Muzammer berkata bagi memastikan keselamatan awam, DBKL bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain untuk mencegah aktiviti jenayah seperti kecurian, vandalisme dan penjualan mercun tanpa kebenaran.

“Pemeriksaan berkala akan dijalankan di lokasi berisiko tinggi.

“Kami juga akan bertindak terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, termasuk penjualan mercun secara haram,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa rondaan penguatkuasaan akan ditingkatkan di kawasan komersial dan perumahan bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

Diminta mengulas bahawa Kuala Lumpur sering menjadi lokasi pertemuan warga asing untuk berkumpul semasa musim perayaan, beliau menjelaskan bahawa pemantauan akan dilakukan bagi memastikan ruang awam digunakan dengan tertib.

“DBKL memastikan ruang awam digunakan secara teratur dan tidak menimbulkan gangguan kepada warga kota.

“Selain itu, JPK akan memastikan tiada aktiviti penjajaan dilakukan dan memastikan pengunjung sentiasa menjaga kebersihan demi keselesaan semua pihak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas