Berita

Pemanjangan landasan LTSIP bukti tak ‘pilih bulu’

PEMANJANGAN landasan LTSIP bakal merancakkan kepesatan ekonomi negeri Kelantan. - Gambar hiasan
- Diterbit 31 Mei 2024 9:30 AM MYT

SEPERTI semua sedia maklum, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PM) fokus untuk membangunkan ekonomi dan membawa masuk pelaburan ke dalam negara seterusnya memastikan Malaysia disegani di pelosok dunia.

Bagi merealisasikan perkara tersebut, beliau juga memberi perhatian dalam membina hubungan yang baik dengan kerajaan negeri yang diterajui pembangkang agar kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.

Fahaman politik tidak sesekali menjadi penghalang malah peruntukan kepada negeri-negeri tersebut juga tidak diabaikan agar kebajikan rakyat dapat diutamakan.

Namun, pelbagai andaian direka untuk mencetuskan provokasi yang pastinya dilakukan oleh golongan yang suka menangguk di air keruh. Tuduhan dilemparkan bagi menampakkan Anwar berat sebelah dengan mengabaikan negeri pembangkang.

Biarpun pelbagai bukti dapat dilihat bahawa tiada istilah ‘pilih bulu’ namun ia tetap dipandang sebelah mata oleh golongan yang suka melaga-lagakan antara satu sama lain.

Buktinya, terbaharu menerusi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Anwar telah meluluskan pemanjangan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) kepada 2,800 meter.

Jelas di sini beliau tidak pernah meminggirkan rakyat negeri Kelantan. Malah perkara tersebut turut dipersetujui oleh Kabinet pada mesyuarat baru-baru ini.

Ia sudah semestinya membawa kegembiraan kepada rakyat di negeri tersebut sekali gus menunjukkan keprihatinan Anwar menangani kesulitan ekoran permintaan trafik yang meningkat.

Memetik laporan media, Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kelantan, Zinda Khalil Sastro Hassan, pemanjangan landasan berkenaan akan merancakkan lagi kepesatan ekonomi dan industri pelancongan negeri Kelantan dalam jangka masa panjang.

“Sejak tahun lalu ketika PM mengarahkan pelbagai projek segera dilakukan termasuk tebatan banjir dan naik taraf bekalan air buat rakyat Kelantan, tahun ini permintaan menjadikan lapangan terbang antarabangsa pula diluluskan tidak sampai dua tahun Kerajaan MADANI berkuasa.

“Mewakili KEADILAN Kelantan, saya menzahirkan jutaan terima kasih kepada PM atas kelulusan berkenaan kerana ia jelas membuktikan semangat federalisme diterapkan dalam aspek pembangunan infrastruktur berkepentingan rakyat,” katanya.

Difahamkan projek berkenaan akan disegerakan dan dimasukkan dalam fasa dua projek naik taraf dan pembesaran LTSIP yang kini sedang berjalan pesat.

Zinda Khalil turut berharap limpahan ekonomi yang akan dinikmati rakyat Kelantan dapat mengubah landskap politik negeri tersebut sekali gus menaikkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri setanding dengan negeri lain.

“Pandangan jauh Perdana Menteri mengimbangi pertumbuhan ekonomi di negeri Pantai Timur dan Barat menunjukkan keseriusan beliau membantu apa sahaja demi keadilan dan aspek tatakelola yang diterapkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas