Artikel

Pemandu teksi serta makna rezeki

KUALA Lumpur yang tidak pernah lena menjadi salah satu lorong rezeki kepada pemandu teksi. - Gambar hiasan
- Diterbit 9 Julai 2024 3:09 PM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

SAYA juga mulanya seperti sebahagian besar dalam kalangan masyarakat yang melihat pemandu teksi tidak lebih sebagai satu pekerjaan untuk menyara hidup. Banyak masa pula dihabiskan dalam teksi yang bergerak menyusur dari lorong ke lorong mencari rezeki.

Bagaimanapun selepas menonton filem Taxi Driver yang diterbitkan tahun 1979, tanggapan terhadap pemandu teksi segera berubah. Bukan itu sahaja malah lebih teruja untuk menyelongkar sisi kehidupan mereka yang terlindung. Filem itu memberikan satu isyarat yang menarik tentang pemandu teksi.

Individu yang menjadi pemandu teksi sebenarnya melampaui kedudukan mereka sebagai pekerja. Mereka juga mempunyai tugas atau tanggungjawab yang melampaui pemandu teksi. Sikap yang tercermin kepada pemandu teksi memberi makna yang menyeluruh mengenai peri pentingnya tanggungjawab dan amanah.

Tanggapan itu mungkin juga didorong oleh keberkesanan lakonan Robert De Niro sebagai Travis Brickle seorang pemandu teksi dalam filem arahan Martin Scorsesee itu. Travis veteran perang Vietnam menjalani kehidupan yang sepi apabila dia disisihkan daripada masyarakat di sekitar.

Untuk mengubati kesunyian, Travis memilih menjadi pemandu teksi yang sentiasa berinteraksi dengan orang ramai sibuk dengan pekerjaan. Akhirnya Travis menjadi wira apabila menyelamatkan seorang pelacur kanak-kanak lakonan Jodie Foster yang masih belasan tahun ketika itu.

Persekitaran sosial New York yang tidak sahaja materialistik, malah penuh jenayah yang tersorok dan terbuka itu memaksa Travis menggalas kembali tugasnya sebagai pelindung golongan tertindas.

Ketika mula-mula menjejak kaki ke Kuala Lumpur pada 1984, ada dua perkara yang berulang kali dipesan oleh beberapa orang apabila tahu yang saya adalah ‘pendatang baharu’ di kota metropolitan itu. Pertama, jangan cepat percaya orang yang tidak dikenali sekalipun nampak baik dan kedua, pemandu teksi.

Pesanan yang pertama itu boleh dijangka, mungkin ada pihak hendak mengambil kesempatan terhadap orang seperti saya yang tercangak-cangak seperti rusa masuk kampung. Bagaimanapun pesanan kedua itu membuatkan saya tertanya-tanya, kenapa dengan pemandu teksi?

Adakah pemandu teksi di Kuala Lumpur juga seperti Travis dalam filem Taxi Driver yang disingkir masyarakat dan menjadi pemberontak kemudian pembela golongan tertindas? Sekalipun belum ada pejuang daripada kalangan pemandu teksi, kedudukan dan ruang sosial memungkinkan mereka berjuang dengan cara tersendiri.

Tetapi agak malang kerana golongan pemandu teksi sudah lama terlekat dengan stigma yang kurang enak iaitu menipu penumpang dengan meletakkan tambang yang tidak sepadan. Istilah tepatnya ‘sembelih’ penumpang untuk mengaut keuntungan.

Selepas beberapa bulan menjadi penumpang teksi dan beberapa tahun pula menjadi warga Kuala Lumpur barulah saya faham kenapa perlu berhati-hati dengan pemandu teksi di Kuala Lumpur waktu itu. Walaupun tidak semua, tetapi stigma ‘sembelih’ itu ada benarnya.

Saya sendiri ada pengalaman hampir ‘disembelih’ selepas turun dari bas ekspres di Puduraya pada suatu pagi untuk pulang ke rumah sewa di Taman Cheras. Bagaimanapun saya lebih rela menunggu bas mini paling awal sekitar pukul 6 pagi daripada ‘disembelih.’ Tambang pun hanya 50 sen sahaja.

Sekalipun begitu, pengalaman saya yang sedikit itu tidak adil untuk dijadikan satu kesimpulan yang menyeluruh terhadap semua pemandu teksi. Tambahan pula banyak kali juga saya dipertemukan pemandu yang baik, sangat berhemah dan pekerti tinggi.

Ada kalanya terasa sangat kerdil di sebalik pemikiran dan pekerti yang diperlihatkan oleh sesetengah pemandu teksi. Malah memahamkan saya tentang amanah yang semestinya menjadi teras dalam diri semua orang daripada serendahnya seperti pemandu teksi hinggalah yang tinggi seperti pemimpin yang menggunakan ganti nama Yang Berhormat.

Kisah manusia

Sebenarnya pemandu teksi yang ‘sembelih’ penumpang itu tidak mewakili bidang atau jenis pekerjaan. Sikap itu terletak kepada individu. Menjadi apa sekalipun, kalau ada sikap buruk itu pasti buruklah dia, kalau ditakdirkan menjadi pemimpin, dia cenderung melakukan perbuatan korup.

Bayangkan dengan kuasanya sebagai pemandu teksi pun boleh menindas orang yang memerlukan khidmatnya, apa lagi kalau diberi kuasa yang lebih besar. Tentulah lebih besar penindasan dan pelanggaran amanah yang dilakukan. Lebih besar pula kerosakan yang dialami oleh masyarakat.

Melampaui kisah-kisah stereotaip itu, pemandu teksi itu sendiri sebenarnya adalah watak-watak yang merakam kisah manusia di ibu kota. Masa yang sama sesetengah dalam kalangan mereka juga ada cerita tersendiri yang tidak kurang tragisnya.

Pada era sebelum adanya media sosial, pemandu teksilah yang paling awal tahu tentang hal-hal yang berlaku di sebalik tabir Kuala Lumpur, berdiri megah siangnya dan penuh kelekatu pada malamnya. Pemandu teksi arif tentang menusia kelekatu yang memburu gemerlapan dan sangat tahu tempat-tempat manusia membeli keseronokan.

Kuala Lumpur yang tidak pernah lena juga menjadi salah satu lorong rezeki kepada pemandu teksi. Semakin malam akan semakin tinggilah tambangnya. Tambahan pula manusia yang memilih kehidupan malam di Kuala Lumpur tidak lokek, mereka mempunyai banyak wang untuk dilabur dan dileburkan.

Sebab itulah sesetengah pemandu teksi lebih suka bersidai di depan pusat hiburan, pusat urut dan tidak kurang pusat pelacuran yang terlindung untuk menunggu penumpang. Manusia yang berada di tempat-tempat seperti itu juga tidak lokek, jadi apalah sangat kalau ‘disembelih’ oleh pemandu teksi.

Bagaimanapun tidak semua pemandu teksi sanggup bersekongkol dengan kerosakan dan keruntuhan yang berlaku di Kuala Lumpur. Banyak yang lebih sanggup menyusur dari lorong ke lorong untuk mendapat seorang atau dua penumpang. Mereka faham erti rezeki dan kesucian jalan mendapatkannya.

Sebab itulah ada pemandu teksi yang sanggup memulangkan beratus ribu ringgit wang penumpang yang tertinggal dalam teksinya. Mereka berbuat demikian kerana faham konsep rezeki, jumpa duit yang diketahui pemiliknya bukan rezeki. Tanpa peribadi terpuji ujian yang sebesar itu tidak mungkin dapat dilalui dengan mudah.

Tetapi hakikatnya ada pemandu teksi yang melakukan kejujuran itu dengan penuh tekad. Tentulah itu satu ironi ketika ada pihak berlumba-lumba mengambil sesuatu yang bukan haknya, pemandu teksi yang pendapatannya tidak seberapa pula meletakkan amanah sebagai perkara yang di depan sekali.

Maka siapa pun kita, sama ada orang besar atau orang kecil, kaya atau miskin yang membezakan adalah tinggi atau rendahnya mendukung amanah dalam menjalani kehidupan harian untuk mencari rezeki. Di situlah kemuliaan dan kehormatan yang sebenarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas