SEMUA pelajar cemerlang yang memperoleh 10 A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dijamin mendapat peluang untuk menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Arahan penempatan ini dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan ramai pelajar cemerlang SPM gagal mendapat tempat pada pemilihan peringkat pertama. Ekoran itu mereka yang tercicir serta membuat rayuan akan diberi tempat melalui pemilihan kedua secara berperingkat.
Yang penting, pada akhirnya kesemua pelajar cemerlang akan diserap. Rasa tidak puas hati atau kecewa dalam kalangan pelajar yang gagal dipilih sebelum ini akan terubat. Kini mereka lega kerana berjaya menyambung pelajaran selepas SPM.
Sebenarnya isu tidak mendapat tempat ini berlaku saban tahun apabila keputusan peperiksaan diumum dan permohonan ke program matrikulasi atau bidang lain seperti diploma dan asasi serta politeknik dibuka.
Kawan-kawan Kedai Kopi percaya keadaan ini berlaku kerana jumlah yang lulus cemerlang ramai tetapi tempat yang ditawarkan terhad. Kerana itu pengambilan dihadkan sejajar dengan fasiliti yang disediakan misalnya kapasiti kolej serta keperluan tenaga pengajar.
Kerana itu permohonan perlu melalui proses penapisan dengan kriteria tertentu ditetapkan oleh pihak kementerian. Dalam proses ini memang boleh berlaku nama pelajar cemerlang tercicir sekalipun rakan lain yang memperoleh kelulusan sama mendapat tempat.
Oleh itu bagi kawan-kawan Kedai Kopi, langkah memastikan pelajar cemerlang tidak tercicir merupakan tindakan proaktif memastikan pelajar ‘terbaik daripada yang terbaik’ diberi tempat. Dalam membut keputusan ini, kerajaan tentu telah mengambil kira segala fasiliti yang disediakan adalah mencukupi.
Kepada pelajar yang terpilih, hargailah peluang yang diberi dengan belajar bersungguh-sungguh untuk menempa kejayaan cemerlang. Pelajar hari ini adalah aset penting negara serta bakal jadi pemimpin masa hadapan.