BERKECIMPUNG dalam dunia lakonan sejak 25 tahun lalu, pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay, 35, menggunakan sepenuhnya pengalaman membantu pelakon Harimau Malaya: The Untold Journey menjiwai watak.
Dia yang diberi tanggungjawab sebagai pengarah kedua dalam filem tersebut mengakui ia merupakan peluang yang baik buat dirinya untuk berkerja di dalam sebuah filem besar dan memerlukan penelitian lebih daripada pelbagai aspek.
“Melalui filem ini, saya belajar bagaimana untuk mengarahkan sebuah filem memandangkan ia akan ditayangkan di layar perak pastinya setiap cacat cela akan kelihatan jadi kita perlu pastikan ia hampir sempurna.
“Saya kagum dengan Aidil yang membawa watak sebagai ketua pasukan kerana dia menjiwai 100 peratus watak dan mempersembahkan karakter dengan sebaik mungkin,” ujarnya teruja mengikuti proses suntingan sehingga ke peringkat akhir.
Berkongsi secara ringkas perjalanan filem tersebut, Liyana berkata ia menggambarkan perjalanan Harimau Malaya selepas pelantikan jurulatih dari Korea iaitu Kim Pan Gon.
“Antara cabaran untuk filem ini kita nak menunjukkan keadaan pasukan tersebut mengikut garis masa kini, ia bukanlah sejarah atau masa akan datang jadi kita perlu gambarkannya sebaik mungkin.
“Meskipun ia berdasarkan kisah benar namun elemen fiksyen juga disuntik dalam bagi memberi warna agar penonton tidak cepat bosan. Namun ia perlu seimbang agar penonton setuju bahawa kejadian tersebut sememangnya berlaku dalam kehidupan sebenar.
“Konsep bagi karya ini adalah unik kerana kebiasaannya filem dibuat berdasarkan perkara yang sudah atau akan berlaku bukan baru-baru ini,” jelasnya teruja bekerja rapat dengan Datuk Afdlin Shauki dan menyifatkan beliau adalah mentornya.
Bakal ditayangkan pada depan, Liyana berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan menyaksikan filem yang mengangkat peristiwa sejarah negara yang sangat membanggakan. – WILAYAHKU