Berita

Pelbagai kaedah diguna pakai bantu golongan susah

Pakar sosial, Datuk Profesor Dr Mohammad Shatar Sabran
- Diterbit 2 Mac 2025 12:12 PM MYT

PENDIDIKAN penting dalam mengubah nasib seseorang terutama yang datang daripada keluarga susah.

Pakar sosial, Datuk Profesor Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, sejak merdeka pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira lokasi, bangsa dan sebagainya.

“Bantuan dan sokongan kerajaan menyeluruh dan sama rata. Kalau kita lihat kaedah digunakan di Wilayah Persekutuan terbahagi kepada fizikal, sosial dan spiritual.

“Secara umum bentuk bantuan sokongan diberikan tidak boleh dipersoalkan kerana sudah terbukti terdapat banyak inisiatif atau kaedah-kaedah telah dikemukakan untuk membantu golongan yang tertentu dan memerlukan,” katanya.

PAKAR sosial, Datuk Profesor Dr Mohammad Shatar Sabran

Beliau yang merupakan Ketua Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, di peringkat penerima, mereka perlu mengambil insiatif dengan menghargai segala bentuk bantuan diberikan.

“Kita sebagai pengguna perlu merealisasikan bantuan tersebut. Sebagai contoh, dalam bentuk sosial, pihak kementerian dan kerajaan telah beri penekanan kepada agenda pendidikan.

“Kita seharusnya mengambil pendekatan dan inisiatif yang begitu serius terhadap kepentingan pendidikan kerana melalui pendidikan sahaja boleh mengubah corak sosial, status keluarga, bangsa dan sebagainya,” katanya.

PENDIDIKAN mampu ubah kehidupan golongan susah.

Tambah Shatar, dengan pelbagai pelaburan dan penekanan diberikan kepada pendidikan boleh mengubah landskap kehidupan masa akan datang.

Beliau berkata, bantuan jangka pendek seperti bantuan khas, sara hidup, inisiatif keusahawanan, perniagaan dan lesen diberikan oleh kerajaan dalam meningkatkan status sosial rakyat.

“Dalam masa terdekat tetapi tak boleh bergantung kepada kaedah ini selamanya. Apa yang mampu untuk ubah landskap kita di masa akan datang adalah pendidikan, tidak kira di bandar dan luar bandar,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas