Berita

Pelawak Sathiya terima bantuan melalui Ziarah Seni Madani

- Diterbit 27 Disember 2024 4:41 PM MYT

TIMBALAN Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hari ini mengadakan lawatan ke kediaman pelawak veteran, Sathia Periasamy, 60, yang lebih dikenali dengan nama pentasnya, Sathiya.

Menurut Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) lawatan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Ziarah Seni MADANI pihaknya dan Kementerian Komunikasi yang bertujuan membantu penggiat seni yang memerlukan sokongan.

“Pelakon yang pernah mencipta nama menerusi watak Ravi dalam sitkom popular “Pi Mai Pi Mai Tang Tu” mengalami serangan angin ahmar sebanyak dua kali pada tahun ini, iaitu pada 16 Ogos dan 19 November lalu.

“Sehingga semalam, seramai 48 orang penggiat industri telah menerima manfaat daripada program Ziarah Seni MADANI FINAS, yang merupakan antara usaha FINAS untuk meringankan beban warga seni yang memerlukan bantuan, terutamanya dalam aspek kebajikan dan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut FINAS antara rakan strategik yang terlibat ialah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Yayasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Koperasi Al-Najah (KL) Berhad, Eco Marine Group of Companies, AHB Holdings Berhad, Angkasaraya Holdings Berhad dan PERKESO.

Katanya, FINAS akan terus komited dalam memperkasakan program kebajikan demi kesejahteraan penggiat seni Malaysia.

Turut hadir dalam program itu Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Rozaidi Abdul Jamil atau dikenali sebagai Zed Zaidi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas