PELARASAN gaji penjawat awam melalui pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) diyakini mampu mempertingkatkan imej dan reputasi Malaysia sebagai negara cemerlang di rantau asia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata kadar kenaikan gaji penjawat awam itu merupakan tertinggi dalam sejarah negara.
“Insya-Allah, dengan kekuatan dan semangat penjawat awam, saya yakin kita mampu mempertingkatkan imej dan reputasi Malaysia sebagai negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang di rantau Asia ini,” katanya di Facebook.
Menurut Zaliha, beliau turut menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Beliau berkata selain mengiktiraf sumbangan dan memberi motivasi kepada penjawat awam, MAPPA juga menekankan keutamaan-keutamaan utama kerajaan, termasuk kecekapan, ketelusan, dan inovasi dalam perkhidmatan awam.
Katanya, Anwar turut menyampaikan dasar-dasar kerajaan, visi, dan harapan terhadap sektor awam.
“Dalam ucapan Perdana Menteri, beliau sentuh mengenai kepentingan memperkasa rakyat melalui roh dan semangat serta mengangkat taraf hidup rakyat melalui pendapatan yang lebih baik dan tinggi.
“Ini sekali gus menjamin kemampanan, kesejahteraan dan meningkatkan keupayaan masyarakat.
“Selain menegaskan bahawa kejayaan Kerajaan MADANI yang dikecapi dalam pelbagai bidang merupakan hasil penglibatan seluruh pihak, termasuk penjawat awam,” katanya.
Tambahnya, dalam majlis yang sama, Laporan Akhir Kajian SSPA turut diserahkan kepada Anwar dalam usaha meningkatkan kualiti dan kebajikan penjawat awam.
Anwar semalam mengumumkan pelarasan gaji secara berfasa sebanyak 15 peratus kepada pegawai kumpulan pelaksana dan pegawai kumpulan pengurusan serta profesional manakala pegawai kumpulan pengurusan tertinggi adalah sebanyak tujuh peratus. – WILAYAHKU