PELANTIKAN Thaksin Shinawatra sebagai salah seorang ahli Kumpulan Penasihat Tidak Formal kepada Pengerusi ASEAN 2025 adalah berdasarkan pengalaman dan kepakaran luas beliau dalam menguruskan hubungan antarabangsa dan menyelesaikan isu-isu serantau yang kompleks.
Menurut Kementerian Luar Negeri, jaringan hubungan baik bekas Perdana Menteri Thailand itu dengan pemimpin-pemimpin ASEAN dan antarabangsa dapat mempromosikan kerjasama lebih erat di kalangan negara anggota dan rakan dialog ASEAN.
Katanya, sebagai seorang tokoh yang berpengaruh dan terkenal dengan dasar-dasar ekonomi yang proaktif, Thaksin memainkan peranan penting merangsang pembangunan ekonomi Thailand semasa pentadbirannya.
“Kepakaran beliau dalam meningkatkan daya saing dan memacu pertumbuhan ekonomi akan menyumbang kepada usaha Malaysia memperkukuh ekonomi serantau.
“Pelantikan beliau boleh menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadikan ASEAN lebih terangkum, mampan dan dinamik di bawah kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai pertimbangan utama kerajaan melantik Thaksin sebagai penasihat tidak rasmi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dan bagaimana peranan beliau dalam memperkukuh kerjasama dan meningkatkan ekonomi serantau.
Kementerian Luar Negeri berkata, pada 16 Disember 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan hasrat untuk melantik Thaksin sebagai salah seorang ahli kepada Kumpulan Penasihat Tidak Formal yang akan menjadi penasihat beliau selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
Katanya, Kumpulan Penasihat Tidak Formal kepada Pengerusi ASEAN 2025 diwujudkan susulan konsultasi oleh Perdana Menteri dengan pemimpin-pemimpin ASEAN.
Ia jelasnya, akan disertai oleh tokoh-tokoh ternama yang boleh berkongsi pengalaman luas mereka, kepakaran serta visi dengan Pengerusi ASEAN 2025 mengenai perkara yang melibatkan kepentingan bersama ASEAN.
“Kumpulan penasihat ini bersifat tidak formal dan tidak berstruktur bagi memberi ruang kepada pertukaran maklumat, pengalaman dan pendapat yang terbuka dan bebas serta tidak mengikat dari segi undang-undang.
“Pengerusi ASEAN 2025 masih mempunyai budi bicara sepenuhnya dalam menentukan perkara-perkara berkaitan ASEAN di semua peringkat dalam ASEAN melalui perbincangan dengan semua negara anggota ASEAN seperti amalan lazimnya,” katanya.
Jelas kementerian itu, pewujudan Kumpulan Penasihat Tidak Formal kepada Pengerusi ASEAN 2025 ini merupakan salah satu inisiatif yang dijangka dapat menyumbang dalam memperkayakan perbincangan yang lebih luas dan terangkum selain dijadikan sebagai platform rundingan tidak formal di bawah kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Pendekatan terangkum ini katanya, merupakan aspek penting dalam Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
“Objektif utama penubuhan Kumpulan Penasihat Tidak Formal kepada Pengerusi ASEAN 2025 adalah sebagai nilai tambah kepada proses kerja ASEAN dan memajukan agenda dan kepentingan bersama ASEAN, dengan mengambil kira keperluan semasa dan masa hadapan ASEAN serta cabaran-cabaran yang harus ditangani oleh ASEAN,” tambahnya. – WILAYAHKU