Berita

Pelantikan kaum Orang Asli ke perkhidmatan awam: SPA terima 11,442 permohonan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 19 Disember 2024 9:45 AM MYT

SURUHANJAYA Perkhidmatan Awam (SPA) telah menerima 11,442 permohonan daripada kaum Orang Asli untuk memasuki perkhidmatan awam bagi tahun 2021-2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah itu, seramai 917 orang calon yang memenuhi syarat skim perkhidmatan dan penilaian yang ditetapkan telah dipanggil untuk ditemu duga.

“Seramai 626 orang calon telah hadir dan daripada jumlah berkenaan, 160 orang calon telah dilantik secara tetap,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Manolan Mohamad mengenai jumlah pengambilan kakitangan awam yang terdiri daripada golongan Orang Asli pada 2021, 2022 dan 2023.

Dr Zaliha berkata, sebagai usaha untuk menggalakkan masyarakat pelbagai kaum termasuk Orang Asli menyertai perkhidmatan awam, SPA sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif secara berterusan seperti Program Hari Kerjaya, Hari Bertemu Pelanggan, program outreach anjuran SPA dan jemputan agensi luar.

Katanya, pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini dijayakan melalui kerjasama strategik bersama agensi yang menguruskan hal ehwal masyarakat termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Beliau menambah, antara program outreach yang melibatkan penyertaan Orang Asli adalah Program Karnival Belia Orang Asli (K-Boards 2.0) Tahun 2023 pada 28 Februari dan 1 Mac 2023 di Bangi, Selangor serta Program Kembara Kerjaya Orang Asli SPA@Kuala Mu pada 17 Ogos 2024 di Kampung Kuala Mu dan Kampung Santeh, Perak.

Inisiatif lain katanya, Program Kembara Kerjaya Orang Asli SPA@Bawong pada 7 Disember lalu yang diadakan di Orang Asli One Stop Centre, Bawong, Sungai Siput, Perak.

“SPA merupakan pihak berkuasa melantik yang membuat pelantikan pegawai di peringkat Persekutuan dan empat negeri iaitu Melaka, Pulau Pinang, Perlis dan Negeri Sembilan.

“Selain SPA, pihak berkuasa melantik lain adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Suruhanjaya Pasukan Polis, Majlis Angkatan Tentera, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan,” jelasnya.

Katanya, di bawah bidang kuasa SPA, kaedah pengambilan dan pelantikan pegawai ke perkhidmatan awam dilaksanakan berdasarkan merit dan kompetensi seseorang calon.

Dasar pelantikan ini menurutnya, bertujuan untuk memastikan calon yang berkualiti dan menepati kriteria yang ditetapkan sahaja dilantik ke dalam perkhidmatan awam.

“SPA tidak meletakkan sebarang kuota sesuatu agama, kaum atau etnik tertentu dalam pelantikan penjawat awam. Semua calon mempunyai peluang yang sama untuk dipertimbangkan dalam persaingan yang terbuka dan adil,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas