PELANCONGAN dianggap sebagai antara tonggak kerjasama dalam hubungan dua hala antara Uzbekistan dan Malaysia, kata Duta Uzbekistan ke Malaysia, Karomidin Gadoev.
Beliau berkata industri pelancongan adalah penting untuk sektor ekonomi Uzbekistan dan Malaysia.
“Uzbekistan kaya dengan sejarah, budaya, seni bina dan masakan. Kami mempunyai dasar pengecualian visa untuk warganegara Malaysia untuk tempoh 30 hari,” katanya semasa mesyuarat perniagaan Malaysia-Uzbekistan di sini yang dihadiri oleh pemain industri pelancongan kedua-dua negara pada Rabu.
Acara itu dianjurkan dengan kerjasama antara kedutaan Uzbekistan dan Uzbekistan Airways untuk mendekatkan Malaysia dan Uzbekistan.
Gadoev berkata Uzbekistan Airways telah memainkan peranan penting dalam menghubungkan Uzbekistan dan Malaysia melalui penerbangan terus secara tetap antara Tashkent dan Kuala Lumpur.
Menurut beliau, Uzbekistan dan Malaysia telah memeterai kerjasama dalam bidang pelancongan melalui memorandum persefahaman mengenai kerjasama pelancongan yang ditandatangani di Samarkand semasa lawatan delegasi Malaysia tahun lepas.
Hubungan dua hala Malaysia dan Uzbekistan telah wujud pada tahun 1992, dengan beberapa pertukaran lawatan pada peringkat pemimpin. – BERNAMA