PELAN Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 diyakini dapat memperkasakan ekonomi dan kesejahteraan golongan Bumiputera, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berharap golongan Bumiputera dapat bersaing secara efektif dalam ekonomi negara.
“Ini meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi dan menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhan,” katanya di Facebook.
Terdahulu, beliau berkata telah menghadiri Majlis Pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim .
Katanya pelan itu merupakan inisiatif Kerajaan MADANI untuk mengangkat darjat dan martabat Bumiputera.
Menurutnya, ini selaras dengan aspirasi ekonomi Madani dalam menjamin kehidupan rakyat, selain mempertingkatkan ekonomi dan kesejahteraan golongan Bumiputera di negara ini.
“Dalam ucapan Perdana Menteri, beliau menekankan bahawa semua pihak memainkan peranan dalam merencana rangka kerja negara dan harus diiktiraf walau sekecil mana pun.
“(Perdana Menteri) turut menegaskan semua golongan perlu diberi perhatian yang sama agar kesejahteraan dan keharmonian seluruh rakyat diangkat bersama,” katanya.
Zaliha yakin melalui pelancaran pelan itu, golongan Bumiputera dapat bersaing secara efektif dalam ekonomi negara.
“Ini meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi dan menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhan,” katanya. – WILAYAHKU