PELAKON veteran, Aripah Damanhuri, 73, meninggal dunia pada jam 8.15 pagi tadi selepas disyaki mengalami masalah jangkitan kuman di paru-parunya.
Anaknya, Nurpais Ismail, 42, menerusi satu pesanan suara memaklumkan arwah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Maaf mengganggu, nak dimaklumkan bahawa mak, Aripah Damanhuri baru saja meninggal dunia pagi tadi di HKL.
“Selepas dimandi dan dikafankan, jenazah akan dibawa ke Surau At-Tarbiah Al-Islamiah Taman Melewar, Batu Caves untuk disembahyangkan.
“Insya-Allah, jenazah akan dikebumikan sebelum Zuhur di Perkuburan Islam Taman Batu Muda,” katanya.
Aripah merupakan kakak kepada seniwati Normah Damanhuri dan juga ibu saudara kepada aktor, Ahya Rosli.
Terdahulu, Aripah dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) HKL pada penghujung April lalu dan ditidurkan setelah beberapa organ turut dijangkiti kuman. – WILAYAHKU