PELAKON Lan Zailan atau Zailan Kamaruddin Mohd, 66, menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat kanser pankreas tahap empat kira-kira jam 4.20 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Berita pemergian pelakon itu disahkan isterinya, Ruby Sara Omar, 51, menerusi WhatsApp.
“Assalamualaikum, saya isteri kepada Zailan ingin memaklumkan beliau baru saja menghembuskan nafasnya yang terakhir,” tulis Ruby dalam hantaran berkenaan.
Lan yang aktif dalam bidang lakonan sejak 1990-an khususnya drama dikesan menghidap kanser pada awal bulan ini selepas mengalami batuk berpanjangan dan berat badan yang menyusut.
Malah doktor juga menjangkakan allahyarham mempunyai tiga bulan saja lagi untuk hidup berikutan sel kansernya sudah merebak ke hati dan paru-paru.
Semalam, Ruby Sara memaklumkan keadaan suaminya kritikal selepas dimasukkan ke PPUM Ahad lalu.
Lan dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat pada Sabtu 14 Disember, namun dikejarkan semula ke unit kecemasan zon merah PPUM pada malam Ahad dan dipantau 24 jam oleh doktor.
Jenazah allahyarham akan dimandi dan dikapankan di PPUM sebelum dibawa ke Masjid As Salam Puchong Perdana untuk disolatkan.
Lan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22.
Antara drama yang penah dibintangi beliau adalah Santan Berlada, Rumah Kedai, Kisah Benar, Gerak Khas dan banyak lagi.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, lima anak dan lapan cucu.-WILAYAHKU