SEORANG pelajar Kolej Vokasional di sini ditemui lemas manakala rakannya terselamat selepas dihanyutkan arus ketika memancing di Pantai Batu Manikar, di sini, semalam.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 5 petang semalam , mangsa Muhammad Shahrulnizam Mat Sidon, 18, dari berasal dari Kampung Merinding, di sini, dipercayai telah hilang selepas hanyut dibawa arus.
Manakala rakannya, Suhairi Rosli, 18, dari Kampung Lubok Temiang berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital oleh orang awam.
Menurut Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Layangan, Huzyman Malikin, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 5.06 petang.
Katanya, pasukan operasi terus melancarkan operasi mencari dan menyelamat termasuk menggunakan Unit Scuba, JBPM di sekitar lokasi kejadian.
“Mangsa berjaya ditemui pada jam 7.40 malam sebelum dibawa ke darat untuk pemeriksaan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 8.21 malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Labuan untuk proses bedah siasat.
“Pasukan bomba kemudian melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.32 malam,” katanya. – WILAYAHKU