Berita

Pelajar IPTA disiasat MCMC atas kesalahan jual video lucah

- Diterbit 14 November 2024 5:24 PM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru-baru ini telah merakam percakapan seorang pelajar lelaki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi membantu siasatan satu kes melibatkan penjualan kandungan melibatkan video lucah adegan sendiri menggunakan aplikasi ”X”.

Dalam satu kenyataan, MCMC berkata siasatan awal pihaknya mendapati kegiatan suspek bermula sejak 2021 dengan beliau memuat naik semula kandungan lucah sedia ada yang dikongsi pengguna lain di aplikasi sama.

“Modus operandi suspek kemudiannya berubah kepada memuat naik dan menjual video lucah adegan sendiri bersama wanita yang dikenali sehingga memperoleh sehingga lebih 100,000 pengikut di platform X.

“Suspek menjadikan penjualan video lucah sebagai sumber pendapatan dan hasil pendapatan bulanannya mencecah sehingga RM3,000 dengan anggaran harga sehingga RM150 bagi setiap satu video,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut MCMC, kegiatan itu dibongkar hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan oleh MCMC berdasarkan aduan awam.

Beliau berkata tindakan menjual video lucah oleh suspek adalah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

“Sekiranya disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Hasil daripada operasi pemeriksaan di sebuah premis di Shah Alam, pasukan penguatkuasaan MCMC telah bertindak menyita satu unit telefon bimbit serta kad sim dipercayai milik suspek yang telah digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, MCMC berkata turut diambil keterangan adalah rakan suspek, seorang wanita yang merupakan pelajar Institut Pengajian Awam Swasta (IPTS).

Beliau berkata sehubungan dengan itu, orang ramai adalah digesa untuk melaporkan sebarang kegiatan menyebar dan menjual kandungan lucah di mana-mana platform media sosial kepada MCMC untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas