Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Pelaburan Microsoft sokong pertumbuhan komuniti pencipta perisian

- Diterbit 25 Jun 2024 3:25 PM MYT

MENTERI Digital, Gobind Singh Deo menyifatkan pengumuman pelaburan bernilai AS$2.2 bilion oleh Microsoft di Malaysia mencerminkan keyakinan Microsoft terhadap potensi Malaysia sebagai destinasi pelaburan digital yang dinamik serta diiktiraf oleh pelbagai pihak di peringkat global.

Katanya, pelaburan Microsoft di Malaysia akan membawa impak yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi digital, pembangunan bakat, serta kemajuan teknologi tempatan

“Antara manfaatnya secara menyeluruh adalah membina infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (artificial intelligence – AI) di Malaysia;

“Mengukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Malaysia untuk menubuhkan Pusat AI Negara dan meningkatkan keupayaan keselamatan siber negara,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Richard Rapu (GPS-Betong) semasa sesi soalan lisan di parlimen hari ini.

Menjelas lanjut, Gobind berkata Microsoft turut komited untuk melatih lebih 300,000 rakyat Malaysia dalam kemahiran digital menjelang tahun 2025 yang turut. menyokong sasaran negara untuk melahirkan sejuta bakat digital menjelang tahun 2030;

“Selain itu, pelaburan itu turut mencipta peluang pekerjaan baharu yang berkemahiran tinggi dalam bidang seperti AI, pengkomputeran awan dan keselamatan siber.

“Ia turut menyokong pertumbuhan komuniti pencipta perisian Malaysia di mana pelaburan ini akan membantu lebih 200 syarikat tempatan mengintegrasikan AI ke dalam operasi mereka menjelang 2025 dalam meningkatkan kecekapan dan inovasi,” katanya.

Gobind berkata pelaburan ini akan dapat memberi kesan limpahan kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi, secara khususnya melalui kerancakan pasaran ekonomi dengan wujudnya peluang pekerjaan di seluruh negara.

” Mengambil contoh negeri Sarawak, dengan pewujudan bakat berkemahiran tinggi dalam sektor digital, ia akan dapat menyumbang dalam penambahbaikan ekosistem data terbuka serta perkongsian data minyak dan gas melalui Open API serta penciptaan robotik baharu.

“Perkara ini dapat menyokong pendigitalan platform luar pesisir di mana juruteknik akan beroperasi dari darat untuk menyokong aktiviti luar pesisir, seterusnya mengurangkan jumlah kebergantungan jurutera di atas platform,” katanya.

Tambah Gobind, Kementerian Digital berharap agar pelaburan ini akan menjadi aspirasi dan penanda aras kepada industri lain bagi memacu inovasi, menggalakkan pembangunan bakat digital dan memacu perjalanan Malaysia ke arah menjadi hab digital global.  –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas