PELABURAN memainkan peranan penting dalam membentuk landskap ekonomi Malaysia, memacu pertumbuhan, inovasi dan peluang pekerjaan. Negara telah proaktif dalam menarik pelbagai pelaburan merentasi pelbagai sektor untuk meningkatkan daya saing dan pembangunan mampan.
Memandang ke hadapan, Malaysia terus menarik pelaburan, memupuk inovasi, dan menggalakkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara.
Dengan memanfaatkan peluang pelaburan yang pelbagai, menerima transformasi digital, dan memupuk amalan mampan, Malaysia meletakkan diri sebagai destinasi menarik untuk pelabur tempatan dan asing yang mencari pertumbuhan dan kejayaan jangka panjang.
Baru-baru ini media melaporkan, syarikat teknologi utama dunia Google menyatakan komitmen untuk melabur sebanyak RM9.4 bilion (AS$2 bilion) untuk mewujudkan pusat data pertama dan wilayah Google Cloud di Malaysia dengan Elmina Business Park milik Sime Darby Property Bhd.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata komitmen pelaburan baharu Google itu dijangka menyokong 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai sektor di Malaysia termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan dengan jumlah impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion (AS$3.2 bilion).
Wilayah Google Cloud di Malaysia akan menyertai 40 wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan global, selain program celik AI (kecerdasan buatan) untuk pelajar serta pendidik Malaysia.
Ketua Pakar Ekonomi di Bank Muamalat Malaysia Sdn Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur asing kini menunjukkan minat yang ketara untuk melabur di Malaysia.
“Kita boleh lihat, banyak pelabur antarabangsa berminat untuk melabur dalam negara sekali gus menunjukkan bahawa Malaysia sebagai institusi pelaburan yang menarik di mata dunia.
“Negara-negara Eropah serta syarikat-syarikat gergasi antarabangsa banyak yang sudah melakukan pelaburan di Malaysia menjadikan petanda bahawa keyakinan mereka dengan kekuatan ekonomi negara,” katanya, ketika dihubungi.
Menurut Mohd Afzanizam pelbagai faktor penting seperti polisi negara, keadaan infra dan perkembangan pembangunan negara menarik minat pelabur asing untuk melabur selain daripada keuntungan.
“Bila soal melabur semestinya soal keuntungan menjadi peranan penting, secara tidak langsung pelabur-pelabur yakin dengan kemampuan ekonomi negara yang mampu beri mereka keuntungan selain kekuatan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Selain itu polisi negara yang pro perniagaan, pro pelaburan, dengan keadaan infra yang baik seperti bekalan elektrik jalan raya yang luas malah sistem telekomunikasi dan teknologi juga memainkan peranan penting di dalam mengembangkan industri pelaburan negara.
“Faktor-faktor tersebut mungkin antara sebab pelabur-pelabur antarabangsa mahu membina tapak di negara di mana mereka yakin dengan hala tuju pembangunan di sini,” ujarnya.
Tambah beliau, kebaikan kedatangan pelaburan asing bukan sahaja menguat dan mengembangkan ekonomi negara malah membuka lembaran peluang pekerjaan serta sektor baharu di masa hadapan.
“Sebagai contoh syarikat teknologi utama dunia, Google yang melakukan pelaburan di negara mampu membawa kesan berganda kepada ekonomi Malaysia sekitar RM15.04 bilion (AS$3.2 bilion) dan pewujudan sebanyak 26,500 pekerjaan.
“Ia juga meletakkan Malaysia sebagai antara negara utama dalam penggunaan dan perkhidmatan sokongan bagi perkhidmatan berteraskan teknologi digital,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, kunjungan Anwar ke Asia Tengah berjaya menjana potensi pelaburan dan perdagangan sekurang-kurangnya berjumlah lebih RM2.1 bilion.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abd Latiff berkata ia satu perkara positif daripada segi rangkaian dagangan negara.
Menurut Ahmed Razman, dapat dilihat kerajaan sekarang tidak terlalu menumpukan rakan dagangan utama bagi mengelakkan atau menjejaskan industri dagangan negara.
“Strategi yang diambil kerajaan, kalau diperhati negara tidak terlalu tertumpu kepada rakan dagangan utama seperti Amerika Syarikat (AS), China serta Singapura untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.
“Pendekatan yang digunakan ini, adalah satu langkah bijak dalam memastikan negara tidak terlalu terkesan jika berlakunya kemelesetan ekonomi yang teruk.
“Dalam masa sama, pelbagai pelaburan yang negara terokai bagi mengembalikan kekuatan ekonomi negara ke tahap yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Ahmed Razman, Perdana Menteri juga berkarisma dalam memastikan negara Malaysia terus perkukuh hubungan dagangan atau dua hala demi membaik pulih pendapatan negara.
“Pasaran dagangan kita akan lebih diversify dengan kemasukan pelabur-pelabur asing dari pelbagai negara.
“Justeru itu, kesan jangka panjang kepada negara akan menjadi lebih baik kerana negara mempunyai sumber dagangan yang lebih banyak berbanding tumpu kepada beberapa negara besar,” ujarnya.
Ahmed Razman turut memberitahu pertumbuhan perdagangan Malaysia sebanyak dua digit pada April lalu juga menunjukkan keyakinan pelabur-pelabur asing kepada ekonomi Malaysia.
“Perdagangan Malaysia merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 12.1 peratus tahun ke tahun kepada RM221.74 bilion pada April lalu, sejajar dengan pemulihan perdagangan global.
“Eksport naik 9.1 peratus kepada RM114.72 bilion setelah mencatatkan penyusutan dua bulan berturut-turut, manakala import meningkat 15.6 peratus kepada RM107.02 bilion, bagi bulan yang ke-48 berturut-turut sejak Mei 2020, Malaysia telah mencatatkan lebihan dagangan, kali ini berjumlah RM7.7 bilion.
“Walau pelbagai faktor peningkatan seperti pemulihan perdagangan global namun jika lebih banyak hubungan dagangan yang terjalin ia sekali gus mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. – WILAYAHKU