PELABUR di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) boleh memohon insentif cukai termasuk kadar cukai korporat istimewa sebanyak lima peratus bagi tempoh 15 tahun bermula 1 Januari lalu.
Perkara itu dinyatakan Kementerian Kewangan dalam kenyataan bersama Kerajaan Negeri Johor mengenai pakej insentif JS-SEZ yang mendorong pelaburan bernilai tinggi ke Johor.
Menurut kenyataan bersama itu, ia memfokus kepada syarikat yang membuat pelaburan baharu dalam aktiviti pembuatan dan perkhidmatan yang layak seperti kecerdasan buatan (AI) dan quantom computing, peralatan perubatan, aeroangkasa dan perkhidmatan hab global.
Katanya, insentif tambahan diperuntukkan untuk perniagaan yang beroperasi di kawasan flagship yang telah ditentukan di JS-SEZ.
“Selain itu, kadar cukai istimewa 15 peratus bagi tempoh 10 tahun diperuntukkan untuk pekerja berpengetahuan yang layak di JS-SEZ,” jelas kenyataan bersama itu pada Rabu.
Terdahulu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pakej insentif JS-SEZ memberikan rangsangan untuk meningkatkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan global.
“Kerajaan MADANI dan Kerajaan Negeri Johor telah mengambil langkah proaktif untuk memberikan sokongan penuh kepada JS-SEZ dalam usaha menarik pelaburan.
“Dengan pelbagai kelebihan yang dimiliki, JS-SEZ akan memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab perdagangan dan maritim utama di rantau ini,” katanya.
Selain pakej insentif cukai, Onn Hafiz berkata, Kerajaan Negeri Johor bersetuju memperkenalkan duti hiburan pada kadar lebih rendah bermula 1 Januari lalu.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pakej insentif cukai JS-SEZ mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan hubungan manfaat bersama yang akan melonjakkan Malaysia sebagai destinasi
pelaburan utama di rantau ini.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan mengalu-alukan perniagaan global untuk meneroka peluang besar yang ditawarkan oleh Malaysia.
“Dengan kerjasama antara Malaysia dan Singapura, pakej insentif JS-SEZ ini akan mempercepatkan kemasukan pelaburan berkualiti dalam sektor-sektor utama dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, dengan memanfaatkan kekuatan dan sinergi antara Johor dan Singapura,” katanya.
Pakej insentif cukai JS-SEZ ini melengkapi Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertujuan untuk merangsang pelaburan dalam industri bernilai tinggi dan dengan pertumbuhan mampan seterusnya merangsang pembangunan ekonomi yang saksama di seluruh Malaysia.
Direka untuk memastikan ketelusan dan aksesibiliti selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, pakej insentif cukai ini mencerminkan kerjasama erat antara Kementerian Kewangan; Kerajaan Negeri Johor; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA); Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA); TalentCorp dan lain-lain pihak berkepentingan.
Bagi memudahcara proses permohonan pelaburan yang lebih pantas di JS-SEZ, kerajaan telah menubuhkan Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) untuk menyelaras proses pelaburan secara menyeluruh, meliputi permohonan dan kelulusan, fasilitasi pelaburan, dan pelaburan semula. – WILAYAHKU