Berita

Pelabur asing yakini ekonomi negara

ANWAR memberikan penegasan mengenai ekonomi negara ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.
- Diterbit 28 Februari 2025 2:00 PM MYT

KECOH dalam kalangan netizen tentang isu kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bijak mengurus ekonomi apabila dikatakan ramai pelabur asing menjual pegangan saham mereka dalam negara.

Terdapat segelintir netizen mempertikai kecekapan Perdana Menteri menangani isu ini sehingga mereka menyindirnya dengan lagu yang menuduhnya hanya pandai bersembang kosong dan cuba menipu rakyat.

Hakikatnya, rakyat perlu tahu bahawa apa yang disampaikan beliau adalah benar dan disokong oleh data yang cukup meyakinkan.

Anwar berkata jumlah peratusan pegangan pelabur asing dalam pasaran modal di Malaysia berada pada tahap 19.4 peratus setakat Januari 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan pegangan pelabur asing dalam pasaran modal negara kekal pada tahap 19 peratus sejak 2023 dengan mencatatkan 19.5 peratus dan bertambah kepada 19.7 peratus pada akhir 2024.

“Januari 2025 masih 19.4 peratus, jadi (penurunan kecil) itu tidak menggambarkan (kekurangan) keyakinan kepada ekonomi negara,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Bukan itu sahaja Anwar berkata firma penyelidikan bagi ekuiti global seperti Nomura Global Market Research, JP Morgan dan HSBC juga telah menaikkan taraf pengesyoran mereka bagi saham syarikat awam.

Perdana Menteri menjelaskan pelaburan asing ke dalam negara secara keseluruhan turut mencatatkan peningkatan seperti yang dilihat bagi tempoh sembilan bulan pertama pada tahun lepas.

“Saya harus ingatkan kita kena lihat keseluruhannya, iaitu kenyataan bahawa (tempoh) sembilan bulan pertama keluaran dalam negeri kasar (KDNK) masih menggalakkan.

“Nilai pelaburan dalam (tempoh) sembilan bulan pertama 2024 naik 10.7 peratus ketimbang (berbanding) pada tempoh sama 2023, ini kenaikan yang agak besar,” katanya.

Dalam pada itu‚ Anwar menyatakan bahawa pasaran bon turut menunjukkan aliran bersih positif.

“Setakat tahun ini aliran bersih bon dari pelabur luar ialah RM1.55 bilion. Ini kalau dia tak yakin orang tak hantar masuk dalam sistem ini RM1.55 bilion,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa perkara yang penting bagi beliau adalah tentang kadar pertumbuhan, peningkatan pelaburan dan kekuatan ringgit.

“Ini sebenarnya petanda dari segi fundamental walaupun masalahnya seluruh dunia. Terutama dengan beberapa keputusan Presiden Donald Trump baru-baru ini yang menjejaskan Eropah, Kanada, Mexico, China, Latin Amerika dan Afrika keseluruhannya,” kata beliau.

Kenyataan Perdana Menteri cukup membuktikan beliau tidak bersembang kosong sebaliknya penuh dengan fakta tentang pelaburan dalam negara yang semakin meningkat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas