Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Pelabur asing kekal pembeli bersih ekuiti untuk minggu kelima – MIDF Research

- Diterbit 27 Mei 2024 1:16 PM MYT

PELABUR asing meneruskan aktiviti belian bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut yang membabitkan pembelian berjumlah RM474.1 juta pada minggu lepas, kata MIDF Research.

Dalam laporan aliran dana mingguan terkini yang dikeluarkan hari ini, cabang penyelidikan MIDF Amanah Invcestment Bank Bhd itu berkata minggu dagangan singkat susulan cuti umum Hari Wesak pada Rabu lepas, menyaksikan kalangan pelabur asing membuat belian bersih berjumlah RM102.6 juta pada Isnin dan RM474.5 juta pada Khamis.

Mereka bertindak membuat jualan bersih RM26.2 juta pada Selasa dan RM76.8 juta pada Jumaat lepas.

“Sektor dengan aliran masuk asing bersih tertinggi pada minggu lepas adalah pengangkutan dan logistik (RM221.4 juta) dan seterusnya teknologi (RM183.3 juta) dan pembinaan (RM77.0 juta),” katanya.

Selain itu, sektor yang mencatat aliran keluar tertinggi bersih adalah perladangan (-RM40.7 juta), penjagaan kesihatan (-RM34.2 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (-RM34.0 juta).

Dalam pada itu, MIDF Research berkata institusi-institusi tempatan meneruskan jualan bersih untuk minggu keempat berturut-turut yang merangkumi jumlah bersih sebanyak RM192.5 juta.

Ini membabitkan jualan bersih sebanyak RM36.1 juta pada Isnin dan RM355.3 juta pada Khamis, namun membuat belian bersih RM101.9 juta pada Selasa dan RM97.0 juta pada Jumaat lepas.

Kalangan peruncit tempatan turut meneruskan jualan bersih yang kini dalam minggu ke-11 berturut-turut selepas membuat jualan bersih RM281.6 juta pada minggu lepas.

“Jualan bersih itu dilakukan setiap hari pada minggu lepas yang juga sembilan hari dagangan berturut-turut,” katanya.

Dari segi penyertaan, MIDF Research berkata purata jumlah dagangan harian meningkat masing-masing bagi peruncit tempatan (+7.1 peratus), institusi tempatan (+12.4 peratus) dan pelabur asing (+18.3 peratus). – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas