YAYASAN PEKEMA di bawah Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) melancarkan Program Charity BOX Yayasan PEKEMA sebagai salah satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Program tersebut juga merupakan satu inisiatif untuk menjenamakan semula dan memberikan nafas baharu kepada aktiviti-aktiviti kebajikan PEKEMA.
Ia turut mendapat sokongan daripada anak syarikat PEKEMA, Central Auto Distributors Berhad (CADB) yang turut menawarkan kenderaan elektrik (EV) Dongfeng BOX sebagai kenderaan rasmi sepanjang program yang diadakan di Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra, Taman Sari Watan, Ampang, Selangor atau juga dikenali sebagai Mesra Home.
Menurut Pengarah Operasi CADB, Datuk Sheikh Mohamed Zulkifli SM Amin pada program itu, Yayasan PEKEMA telah memberikan sumbangan berjumlah RM40,900 kepada Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra.
Beliau berkata daripada jumlah itu, peruntukan terbesar disalurkan dalam bentuk sumbangan sebanyak RM20,000 untuk menambah baik premis rumah jagaan itu.
“Pada masa sama, sebahagian sumbangan turut diberikan kepada 19 warga emas dan tidak dilupakan kepada lima penjaga.
“Sebagai simbolik pelancaran sumbangan, setiap warga emas menerima cenderahati dalam bentuk gift box oleh pihak Yayasan PEKEMA,” katanya.
Sementara itu, Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata Yayasan PEKEMA berharap program ini dapat memberikan sinar kebahagiaan kepada warga emas yang telah banyak berbakti dan berkorban untuk masyarakat.
Beliau berkata, warga emas adalah permata yang amat berharga dan sudah semestinya berhak menerima kasih sayang serta perhatian sepenuhnya daripada seluruh komuniti sebagai tanda penghargaan atas segala sumbangan mereka.
“Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi kesempatan untuk berkumpul pada hari yang penuh bermakna ini, di mana Yayasan PEKEMA dapat melancarkan Program Charity BOX Yayasan PEKEMA buat julung kalinya.
“Program ini bukan sahaja menggambarkan komitmen kita terhadap kesejahteraan golongan warga emas, tetapi juga menandakan titik penjenamaan semula satu inisiatif besar yang akan terus berjalan untuk memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Pengurus Yayasan PEKEMA, Mohd Yusof Rebu berkata Yayasan PEKEMA merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Charity BOX Yayasan PEKEMA ini.
Beliau berkata penghargaan diberikan khususnya kepada CADB, Sukarelawan Kelab Rekreasi dan Sukan PEKEMA serta Jabatan Komunikasi Korporat PEKEMA.
“Marilah kita bersama-sama meneruskan usaha ini untuk memastikan kebajikan warga emas sentiasa terbela dan mereka terus menerima kasih sayang yang selayaknya,” katanya.
Program disertai wakil dari Yayasan PEKEMA, CADB, Sukarelawan Kelab Rekreasi & Sukan PEKEMA (KRESMA) dan Jabatan Komunikasi Korporat PEKEMA yang memberi sumbangan kepada para penghuni dan penjaga rumah jagaan itu. – WILAYAHKU