SERAMAI 35 orang pejuang kemurungan atau Major Depressive Disorder (MDD) menyertai Program Inisiatif Sejuta Harapan untuk berkongsi pengalaman masing-masing sewaktu mengharungi fasa terburuk itu.
Menurut Pengasas dan Presiden badan bukan kerajaan (NGO) Empati (Kelab Advokasi Pulih Mental), Syahida Zulkarnain, tujuan penganjuran program tersebut baru-baru ini bagi menyediakan platform selamat buat mereka yang melalui mimpi ngeri tersebut.
“Inisiatif ini timbul susulan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 yang mendapati bahawa 1 juta rakyat Malaysia berusia lebih 15 tahun telah mengalami kemurungan.
“Melalui program ini juga para pejuang berpeluang untuk bersosial secara sihat, selain berpeluang membina sistem sokongan yang berkala dan khusus untuk pesakit yang memerlukan,” katanya.
Program dimulakan dengan aktiviti Piknik Inspirasi iaitu sebuah aktiviti piknik tertutup yang santai namun penuh informasi dan ilmiah.
“Kita juga telah menjemput seorang pendokong kesihatan mental yang juga merupakan penulis buku Mendewasa dengan Luka, Aiman Amri sebagai penceramah utama.
“Berkonsepkan bengkel selama empat jam, Piknik Inspirasi bertujuan untuk membangkitkan semula keinginan pejuang kemurungan untuk hidup dengan lebih sihat di samping bersosial secara sihat dengan rakan-rakan yang boleh berkongsi permasalahan yang sama tanpa bias dan prasangka.
“Aktiviti dimulakan dengan sesi ice breaking dan pengenalan, diikuti dengan penerangan tentang analogi kesihatan mental. Peserta kemudiannya terlibat dalam aktiviti berkumpulan untuk membezakan kesan-kesan kemurungan kepada pesakit serta didedahkan dengan bentuk-bentuk trigger yang berbeza untuk setiap orang dan cara mengatasinya,” jelasnya.
Tambahnya, program yang julung kali diadakan ini merupakan usaha proaktif NGO Empati dengan kerjasama dan sokongan daripada Jabatan Perdana Menteri.
Jelasnya, program ini adalah sebahagian daripada inisiatif berkala yang bertujuan untuk membina sistem sokongan yang dipercayai oleh komuniti pejuang penyakit mental khususnya anak muda.
“Sistem sokongan ini mengguna pakai teori Dr Irvin Yalom yang meletakkan 11 prinsip yang perlu ada dalam sesebuah sistem sokongan, termasuklah prinsip cohesiveness.
“Kami berharap program ini bermanfaat serta memberi impak kepada mereka yang memerlukan dan berharap lebih ramai berani tampil ke hadapan bagi mendapatkan bantuan seterusnya mampu memberi harapan kepada pejuang-pejuang kemurungan,” ujarnya. – WILAYAHKU