MENJELANG pembukaan tirai tahun 2025 yang menyaksikan Malaysia bakal mengambil alih Kepengerusian Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang melakukan persiapan yang menyeluruh untuk memastikan bandar raya itu bersedia untuk menjadi tuan rumah acara penting ini.
Sidang Kemuncak ASEAN bukan sahaja meletakkan Kuala Lumpur sebagai venue pusat tetapi juga mempamerkan keupayaan pembangunan Malaysia kepada negara anggota ASEAN yang lain yang dijangka memberi impak positif kepada pelancongan, perdagangan dan reputasi antarabangsa Malaysia.
Justeru itu, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Ismadi Sakirin mengetuai kumpulan pegawai kanan turun meninjau beberapa lokasi yang berpotensi menjadi tumpuan delegasi antarabangsa.
“Antara lokasi terlibat adalah Jalan Petaling, Jalan Kasturi, Jalan Sultan, Dataran Merdeka dan Projek River of Life,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, antara perkara utama yang menjadi tumpuan adalah berkenaan dengan aspek infrastruktur, pengindahan bandar serta perkara berkaitan.
Selain itu, Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek), Mohamad Hamim turut mengetuai kumpulan kedua di Jalan Parlimen, Taman Botani, Jalan Kuching, Jalan Ampang, Jalan Bukit Bintang dan sekitar pusat bandar.
Matlamat utama kedua-dua lawatan ini adalah bagi meninjau keadaan kebersihan, aktiviti penjajaan dan penguatkuasaan di samping melihat kerja-kerja menaik taraf serta menyelenggara infrastruktur di ibu kota Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata beliau telah diminta Perdana Menteri untuk menaik taraf khususnya imej ibu negara menerusi lima perkara yang perlu diberi tumpuan sepenuhnya menjelang tahun 2025.
Antara perkara yang mendapat perhatian Perdana Menteri termasuklah mengadakan bekerjasama dengan semua pihak termasuk pemilik bangunan dalam aspek pencahayaan sekali gus menyerlahkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang vibrant.
“Bangunan tersebut merangkumi komersial, residensi selain turut menyeru semua penghuni bangunan untuk turut sama dalam aspek pencahayaan bagi menyerlahkan lagi imej Kuala Lumpur.
“Yang ketiga adalah bahagian infrastruktur dan pihak DBKL sendiri harus memastikan di sekitar ibu kota tidak ada pot hole, permukaan jalan raya mestilah diturap dan menangani isu banjir serta infrastruktur bandar,” katanya. – WILAYAHKU